
Mahdzir Khalid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, semua menteri Umno sudah melakukan yang terbaik terutama dalam membantu rakyat ketika berdepan pandemik Covid-19.
“Saya fikir kenyataan Tok Mat (Mohamad Hasan) itu sendiri tidak tepat. Beliau tidak boleh ambil dari sudut orang yang di luar (daripada kerajaan).
“Kita tahu apa yang kita buat dan kita berusaha sedaya-upaya supaya yang penting adalah untuk rakyat terutama ketika Covid-19 dan kita tahu macam mana nak tolong rakyat dalam pemulihan ekonomi,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Semalam Mohamad berkata, Umno tidak boleh mewakili orang Melayu dengan berkesan dalam keadaan kerajaan diterajui Umno, tetapi turut melibatkan parti lawan seperti PAS dan Bersatu bawah Perikatan Nasional (PN).
“Prestasi kita dalam kerajaan tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan. Saya faham dan saya akui, ada yang mencuba dan melakukan sehabis baik. Tetapi hasilnya tidak menyerlah.
“Pemulihan negara masih belum ada lonjakan konkrit. Pembukaan sempadan negara pula baharu sahaja akan dibuka. Prestasi ekonomi terus suram. Kesempitan masyarakat tidak berkurangan. Sistem pendidikan masih belum mencapai tahap yang sepatutnya. Malah, keterlihatan negara di pentas global seperti lenyap sama sekali.
“Itulah dia, kedudukan sebenar Umno dan prestasi kerajaan waktu ini. Bagaimanalah Umno dapat menjadi wakil yang berkesan kepada orang Melayu jika sebeginilah kedudukan dan prestasi Umno dalam kerajaan,” katanya.
Mahdzir ketika mengulas lanjut berkata, setiap menteri tahu tanggungjawab dan tugas di setiap kementerian mereka.
“Saya sebagai menteri luar bandar, kita tahu apa naratif kita. Apa yang penting adalah perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan setiap pihak tidak menimbulkan sebarang polemik berhubung pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Perkara berkaitan pilihan raya ini adalah perkara yang besar. Hak pembubaran adalah hak Yang di-Pertuan Agong.
“Semua pihak mesti menghormati sistem beraja. Perdana Menteri boleh berbincang dengan kepimpinan Umno tarikh sesuai untuk adakan pilihan raya. Jika dah bersetuju barulah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Jadi, jangan timbulkan polemik,” katanya.