2 ditahan, hampir 500kg dadah RM1.53 juta dirampas

2 ditahan, hampir 500kg dadah RM1.53 juta dirampas

Saringan awal dua suspek didapati positif dadah jenis tetra hydrocannibol dan seorang daripada mereka mempunyai satu rekod lampau kes jenayah.

Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan 468.8kg dadah dipercayai ganja serta kira-kira 10kg dadah disyaki syabu yang dirampas kelmarin.
SHAH ALAM:
Polis menahan dua lelaki serta merampas dadah dipercayai jenis ganja dan syabu dianggarkan seberat 478.8kg bernilai kira-kira RM1.53 juta hasil dua serbuan di sekitar Kuala Langat dan Klang, dua hari lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua rakan sejenayah berumur 31 dan 47 tahun itu ditahan oleh JSJN Bukit Aman sekitar 12 tengah hari di sebuah stesen minyak sekitar Kuala Langat sebelum dipandu arah ke sebuah pangsapuri di Klang yang dijadikan stor penyimpanan dadah pada hari sama.

Katanya, hasil serbuan di pangsapuri itu, polis merampas 468.8kg dadah dipercayai ganja serta kira-kira 10kg dadah disyaki syabu dianggarkan bernilai RM1.53 juta.

“Sindiket yang dipercayai baharu sahaja aktif bulan ini menyeludup dadah tersebut melalui utara Semenanjung Malaysia-Thailand menggunakan jalan darat…mereka menyasarkan dadah tersebut bagi pasaran Lembah Klang,” katanya pada sidang media hari ini.

Ayob Khan berkata, pihaknya mempercayai ganja yang dirampas itu dari Laos.

“Kalau ikut trendnya, kebiasaannya pada Mac dan Oktober adalah musim menuai (ganja). Tetapi sekarang di Laos, aktiviti menuai dijalankan sepanjang tahun, sebab itu kita lihat kebelakangan ini banyak rampasan JSJN di sempadan utara negara melibatkan dadah jenis ganja.”

Beliau berkata, pihaknya mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset suspek, antaranya kenderaan dan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM88,496, menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM1.62 juta.

Katanya, saringan awal kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC) dan seorang daripada mereka mempunyai satu rekod lampau kes jenayah.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek kini direman tujuh hari sehingga 22 Mac ini bagi membantu siasatan.

Mengenai perkembangan tangkapan sembilan penguat kuasa menjual dadah yang dirampas, Ayob Khan berkata, pihaknya sudah menyiapkan kertas siasatan berhubung kes itu, termasuk seorang lagi suspek yang bekerja sebagai nelayan.

“Yang pasti, siasatan kita sudah habis untuk 10 orang ini. Kita masih menjalankan soal siasat untuk maklumat bagi mengesan saki-baki kalau ada mana-mana lagi penjawat awam yang terlibat, kita akan ambil tindakan susulan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.