Sasaran pendapatan isi rumah RM10,000 menjelang 2025 dapat dicapai dengan strategi makro

Sasaran pendapatan isi rumah RM10,000 menjelang 2025 dapat dicapai dengan strategi makro

Antara strategi itu adalah meningkatkan produktiviti, menggalakkan pelaburan berkualiti, mempercepat peralihan struktur ekonomi dan memanfaatkan penyertaan dalam rantaian nilai global.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Eddin Syazlee Shith berkata, kerajaan menyasarkan purata pendapatan isi rumah di bawah RMK12 meningkat daripada RM7,089 pada 2020 kepada RM10,065 pada 2025, iaitu peningkatan 7.3% setahun. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan yakin sasaran pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan menjelang 2025 dapat dicapai berikutan pelbagai strategi makro diperkenalkan untuk memulih dan memperkukuh asas ekonomi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Eddin Syazlee Shith.

Antara strategi itu katanya, adalah usaha meningkatkan produktiviti, menggalakkan pelaburan berkualiti, mempercepat peralihan struktur ekonomi, memanfaatkan penyertaan dalam rantaian nilai global, meningkatkan bahagian pampasan pekerja dan memastikan kemampanan fiskal dalam jangka panjang.

Katanya, kerajaan menyasarkan purata pendapatan isi rumah di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) meningkat daripada RM7,089 pada 2020 kepada RM10,065 pada 2025, iaitu peningkatan 7.3% setahun.

“Sasaran ini realistik berdasarkan pencapaian peningkatan purata pendapatan isi rumah bagi tempoh 2009 hingga 2019, iaitu sebanyak 7% setahun,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai perancangan kerajaan untuk memastikan 2025 sebagai sasaran negara berpendapatan tinggi bagi mencapai pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan seperti terkandung dalam RMK12.

Eddin Syazlee berkata, sasaran yang ditetapkan juga selari jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada harga semasa sebanyak 7.4% setahun bagi tempoh RMK12 dan matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju.

“Peranan sektor swasta akan terus diperkasa supaya kembali menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan bagi memperkukuhkan peranan sektor swasta, Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional akan menjadi asas pembaharuan yang komprehensif dalam semua inisiatif dan dasar berkaitan pelaburan.”

Beliau berkata, institusi pelaburan akan distruktur semula untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti yang akan menggalakkan pembangunan produk dan perkhidmatan kompleks serta mendorong penerimagunaan teknologi termaju.

Kerajaan juga komited dalam meningkatkan dan mempelbagaikan sumber pendapatan, termasuk menyediakan program peningkatan pendapatan dan keupayaan, menambah baik akses keperluan asas, menggalakkan keusahawanan dan pelaburan kepada portfolio penjanaan pendapatan serta meningkatkan sistem perlindungan sosial, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.