
Farhash berkata, bekas Ahli Parlimen Pandan itu banyak berkias dalam kenyataannya dengan menyindir presiden parti sebagai lemah serta menyifatkan percutiannya daripada aktif dalam PKR sebelum ini disebabkan tidak bersetuju dengan keputusan dibuat pimpinan.
“Maka dengan itu, ramai pihak merasakan Rafizi tidak mampu untuk menerima keputusan yang dibuat secara kolektif oleh pimpinan dan hanya dengan diberi kuasa mutlak sebagai presiden akan memuaskan hatinya,” katanya dalam kenyataan.
Kata Farhash lagi, Rafizi juga secara biadap menyatakan memilih untuk tidak bertanding jawatan presiden supaya tidak menimbulkan kacau-bilau dan mengganggu mesej parti kepada umum.
“Persoalan penting yang harus dijawab adalah, adakah beliau merasa layak untuk menentang Anwar Ibrahim sebagai Presiden?
“Jika dirasakan begitu, gelanggang demokrasi ini dibuka seluasnya. Biar anggota PKR melihat wajah sebenar kerakusan kuasa yang sanggup membelakangkan kepimpinan parti,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan Rafizi bersikap jujur pada diri sendiri dan berhenti bermain politik murahan.
“Sebagai orang parti, beliau sewajarnya lebih beradab sejurus kembali ke gelanggang politik dan sentiasa berhati-hati dalam setiap pertuturannya agar tidak mengguris hati semua anggota PKR.
“Harus diingat, PKR merupakan sebuah parti yang cukup dinamik kerana ianya merangkumi suara seluruh lapisan masyarakat dan setiap keputusan parti perlu diterima secara berjemaah,” katanya.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan, Rafizi berkata beliau tidak mahu bertanding jawatan presiden PKR yang disandang Anwar bagi mengelakkan perkara itu mengganggu perhatian awam kepada mesej-mesej parti itu.
Katanya, tindakan sedemikian akan mencetuskan keadaan kelam-kabut dan fokus akan beralih kepada pertandingan, bukan masalah rakyat, seperti isu kesihatan awam.