
Timbalan Presiden Umno itu, berkata Umno tidak boleh mewakili orang Melayu dengan berkesan dalam keadaan kerajaan diterajui Umno, tetapi turut melibatkan parti lawan seperti PAS dan Bersatu bawah Perikatan Nasional (PN).
“Prestasi kita dalam kerajaan tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan. Saya faham dan saya akui, ada yang mencuba dan melakukan sehabis baik. Tetapi hasilnya tidak menyerlah.
“Pemulihan negara masih belum ada lonjakan konkrit. Pembukaan sempadan negara pula baharu sahaja akan dibuka. Prestasi ekonomi terus suram. Kesempitan masyarakat tidak berkurangan. Sistem pendidikan masih belum mencapai tahap yang sepatutnya. Malah, keterlihatan negara di pentas global seperti lenyap sama sekali.
“Itulah dia, kedudukan sebenar Umno dan prestasi kerajaan waktu ini. Bagaimanalah Umno dapat menjadi wakil yang berkesan kepada orang Melayu jika sebeginilah kedudukan dan prestasi Umno dalam kerajaan,” kata beliau.
Mohamad membidas pemimpin parti yang sama ada meninggalkan Umno atau menjauhkan diri daripada parti sebagai golongan “oportunis” yang mengekang kebangkitan semula Umno sebagai kuasa politik utama.
“Kerana merekalah, terbitnya Bersatu, Pejuang dan Warisan. Mereka ini berpatah arang, berkerat rotan dengan Umno. Kerana golongan oportunis sebeginilah, Umno akan terus berhadapan dengan krisis meyakinkan rakyat tentang wibawa dan iltizamnya untuk berubah dan mendakap islah.”
Mohamad berkata, Umno tidak harus dihambat dengan golongan yang membelakangkan perjuangan parti demi mencari kuasa.
“Hentikan pemikiran gemar bergantung kepada parti lain untuk memerintah. Apatah lagi bergantung dengan PAS, Bersatu atau Pakatan Harapan (PH) sebagai talian hayat dan nyawa simpanan. Budaya mencari talian hayat mesti dibuang. Jangan sesekali meminta-minta nyawa dari orang lain.
“Kita juga mesti berhenti memberi nyawa pada orang lain. Khususnya mereka yang mengemis peluang. Tapi akhirnya menikam kita dari belakang,” kata Mohamad, tanpa mengulas lanjut.
Walaupun menjadi rakan Umno dalam kerajaan persekutuan, Bersatu dan PAS bergabung untuk menentang Umno di PRN Melaka dan Johor.
Selain terpaksa menguruskan hubungan ‘rumit’ tiga parti itu di peringkat kerajaan, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno, turut mengikat memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dengan PH.
“Kepada mereka yang mengumpamakan Umno ini seperti itik yang patah kaki. Kami di sini ingin mengingatkan, gelarlah apa yang sedap sebutannya di bibir. Tetapi, Umno akan terus menjadi kaki dan tangan kepada rakyat, malah buat masa ini, Umno adalah kaki dan tangan kepada kerajaan tumpangan yang ada sekarang,” kata beliau merujuk kepada kritikan Presiden PAS Hadi Awang sebelum ini.
Mohamad berkata, Umno harus fokus menjadi parti politik “terkuat dan paling dominan” supaya menjadi teras kepada pembentukan sebuah kerajaan stabil tanpa terikat kepada agenda parti lawan.
“Jika parti kuat dan dominan, kepentingan bangsa Melayu dapat Umno perjuangkan dengan berkesan. Tanpa boleh dirungut-rungut, tanpa boleh diugut-ugut. Kita mesti memenangi pilihan raya dengan majoriti besar untuk membentuk kerajaan yang stabil…(dan) tidak boleh bergantung harap kepada kasihan dan belas orang lain,” katanya.