PAS tak buat keputusan bercanggah, tubuh MN lebih rumit daripada PN, Sanusi jawab Khairuddin

PAS tak buat keputusan bercanggah, tubuh MN lebih rumit daripada PN, Sanusi jawab Khairuddin

Dakwaan penubuhan PN yang dianggap tidak sejajar dengan dasar dan perlembagaan PAS disangkal Pengarah Pilihan Raya parti itu Sanusi Md Nor.

Sanusi Md Nor menegaskan pimpinan tertinggi PAS bersetuju membentuk PN kerana mudah, berbanding proses menubuhkan MN yang lebih rumit, kata Menteri Besar Kedah itu menjawab tuduhan bekas ahli PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali.
PETALING JAYA:
Proses penubuhan Muafakat Nasional (MN) lebih rumit, sekali gus memerlukan proses yang besar, berbanding pembentukan Perikatan Nasional (PN) yang dianggap lebih mudah, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Md Nor, membalas kritikan Mohd Khairuddin Aman Razali.

Khairuddin yang juga bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat sebelum ini menyelar tindakan kepimpinan tertinggi PAS membuat keputusan bercanggah dengan dasar dan perlembagaan, merujuk kepada penubuhan PN yang dikatakan tidak mengikut prosedur sepatutnya.

Sanusi berkata, proses penubuhan MN memerlukan banyak peringkat mengambil kira PAS dan Umno bermusuh hampir 70 tahun lalu.

“Tiap-tiap keputusan yang diambil bergantung kepada besarnya keputusan itu proses dia macam itu lah, tentulah besar nak tubuh MN, nak lupakan apa yang Umno buat kat PAS selama 70 tahun…rumit, rumit.

“Nak tubuh PN senang sahaja, nak daftarkan PN sebenarnya semua sudah bersetuju Bersatu pun dijemput dalam MN. Keputusan tubuhkan PN sebab proses tak betul itu saya tolak, tidak benar,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Pada sidang media di Parlimen kelmarin, Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, mengumumkan keluar PAS dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas selepas menganggotai parti itu selama 33 tahun.

Sanusi ketika mengulas lanjut, berkata Khairuddin perlu memahami kuasa diperuntukkan kepada presiden parti seperti mana sedia termaktub dalam perlembagaan.

“Kuasa presiden sebagai khalifah kepada jemaah ini dia kena terima…untuk menerima keputusan pemimpin nombor satu,” katanya.

Beliau berkata, selagi mana keputusan parti tidak menyalahi hukum syarak, mana-mana ahli parti perlu patuh.

“Saya tak alim macam dia (Khairuddin) boleh cakap Arab apa semua… (saya) boleh cakap Melayu sahaja pelat Kedah, tapi bab disiplin dengan PAS itu kena serius,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.