
Pengarah NPRA, Dr Roshayati Mohamad Sani berkata, lima daripada kes itu perlu dimasukkan ke wad, manakala satu lagi kes, yang difahamkan mempunyai keadaan kesihatan lain (underlying health condition), meninggal dunia di luar kemudahan kesihatan (BID).
“Lima orang sudah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan lanjut, dua daripadanya pulih sepenuhnya, manakala tiga lagi sedang sembuh,” katanya dalam taklimat media hari ini.
Beliau berkata, kes BID itu mempunyai keadaan kesihatan lain, tetapi siasatan masih dijalankan untuk menentukan jika ia ada kaitan dengan vaksin.
Setakat 11 Mac lalu katanya, sebanyak 182 kes AEFI dilaporkan membabitkan kanak-kanak daripada 1,097,425 vaksin Covid-19 yang diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Roshayati berkata, jumlah itu bersamaan dengan kadar 0.17 laporan bagi setiap 1,000 dos yang diberikan, dengan 96.7% daripada laporan itu ialah kes tidak serius.
Katanya, kadar pelaporan AEFI dalam kalangan penerima vaksin berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia adalah setara dengan negara lain, iaitu Kanada (0.19 laporan bagi setiap 1,000 dos) dan Australia (0.7 laporan bagi setiap 1,000 dos).
Sementara itu, berdasarkan statistik terkini NPRA bertarikh 11 Mac, agensi itu menerima 25,746 laporan AEFI akibat vaksin Covid-19, termasuk 1,411 dalam kalangan penerima dos penggalak dan 182 laporan membabitkan kanak-kanak lima hingga 11 tahun, pada kadar keseluruhan 379 laporan bagi setiap sejuta dos.
Roshayati berkata, 93% daripada laporan itu adalah kes tidak serius, manakala 1,789 laporan dikategorikan sebagai AEFI serius (bersamaan kadar 26 laporan bagi sejuta dos).
Agensi itu menganggap kes tidak serius AEFI sebagai penerima vaksin mengalami kesan sampingan, termasuk demam, sakit di tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan.
Kes serius pula merujuk kesan yang menyebabkan kemasukan ke wad, membahayakan nyawa atau disyaki menyebabkan kematian.