Lelaki masuk lokasi tanah runtuh di Ampang ialah bekas anggota sukarela APM

Lelaki masuk lokasi tanah runtuh di Ampang ialah bekas anggota sukarela APM

Pegawai Pertahanan Awam Daerah KL berkata, pelantikan lelaki itu tamat 9 Jan lalu dan keanggotaannya dalam APM tidak disambung.

Tujuh pegawai dan anggota APM dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung video tular semasa tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 pada Khamis lalu. (Gambar Bomba)
KUALA LUMPUR:
Lelaki yang dikatakan memasuki lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, di sini Khamis lepas adalah bekas anggota sukarela Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur, Mazran Mohamad berkata, pelantikan lelaki itu tamat 9 Jan lalu dan keanggotaannya dalam APM tidak disambung semula.

“Individu itu telah diputuskan tidak disambung keanggotaan melalui peruntukan Kaedah 27 Kaedah-kaedah Pertahanan Awam (Pasukan Pertahanan Awam) 1970 (dan) tidak boleh didaftar semula di mana-mana premis serta Pejabat Pertahanan Awam seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu bagi menjelaskan kedudukan lelaki terbabit dalam APM, selepas dia dikatakan memasuki lokasi bencana, yang merupakan kawasan larangan, tanpa kebenaran dan dikhuatiri menjejaskan keselamatan pasukan pencarian serta mengganggu usaha mencari dan menyelamat.

Rakaman video, yang antara lain memaparkan seorang pegawai APM dilihat mengingkari arahan Komander Operasi Bencana supaya tidak memasuki kawasan itu tular di media sosial baru-baru ini.

Semalam, seorang pegawai kanan kerajaan antara tujuh pegawai dan anggota APM yang dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung video tular semasa tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 yang mengorbankan empat nyawa.

Mazran berkata, APM akan terus bekerjasama dengan semua agensi, sama ada dalam situasi aman atau semasa bencana dan mengalu-alukan semua pihak memahami skop, peranan dan tanggungjawab APM.

“APM sebagai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah dan satu daripada pasukan penyelamat utama di zon merah.

“APM juga akan sentiasa bersama semua warganya berkhidmat mengikut peraturan dan perundangan sedia ada dalam melindungi nyawa dan harta benda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.