Kerajaan kekal Rangkaian Borong Tunggal 5G, tawar 70% ekuiti kepada telco

Kerajaan kekal Rangkaian Borong Tunggal 5G, tawar 70% ekuiti kepada telco

Menteri Kewangan berkata, ia adalah penyelesaian terbaik untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G.

Tengku Zafrul Aziz berkata, DNB akan dikawal selia Kementerian Komunikasi dan Multimedia, manakala Kementerian Kewangan memantau dari segi tadbir urus dan sebagai pemegang saham.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan mengekalkan model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) untuk pelaksanaan rangkaian 5G, kata Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz.

Katanya, kerajaan turut menawarkan sehingga 70% pegangan ekuiti Digital Nasional Berhad (DNB) kepada syarikat telekomunikasi lain, manakala baki 30% dipegang oleh kerajaan.

Beliau dalam sidang media hari ini berkata, keputusan itu adalah penyelesaian terbaik untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G bagi menggalakkan rakyat menggunakan 5G.

Katanya, DNB akan dikawal selia Kementerian Komunikasi dan Multimedia, yang bertanggungjawab ke atas industri komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, manakala Kementerian Kewangan terus memantau dari segi tadbir urus dan sebagai pemegang saham.

Katanya, pengekalan model SWN merupakan pendirian tegas kerajaan terhadap kesinambungan dasar di Malaysia.

“Ia juga melambangkan model perkongsian awam-swasta Malaysia yang kukuh, serta ekosistem pembiayaan sektor swasta mantap, yang secara keseluruhan akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.”

DNB, agensi milik penuh Kementerian Kewangan, ditugaskan membina dan menguruskan rangkaian 5G, namun berdepan masalah dengan penyertaan tidak memberangsangkan oleh syarikat telekomunikasi.

Syarikat telekomunikasi mencadangkan kerajaan membenarkan pembekal 5G kedua, sumber beritahu Reuters pada Disember, susulan perbincangan mengenai harga dan isu lain antara penyedia perkhidmatan serta DNB menemui jalan buntu.

Mereka bimbang perancangan itu akan mengakibatkan monopoli lebih mahal berbanding menggunakan 5G mereka sendiri, walaupun DNB berkata ia akan mengenakan caj lebih murah untuk mengakses rangkaian 5G berbanding 4G.

Pada 10 Mac lalu, kerajaan dilaporkan berkata, DNB menerima pembiayaan RM1.7 bilion daripada institusi kewangan bagi pelancaran rangkaian 5G.

Kementerian Kewangan menerusi jawapan kepada Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat berkata, ia tidak akan terlibat memberi sebarang jaminan atau pembiayaan kepada DNB seperti didakwa pihak tertentu.

“(Pembiayaan) ini akan dibayar semula melalui hasil yang dijana daripada penjualan kapasiti secara borong. Sehingga penghujung Januari 2022, jumlah yang dibelanjakan DNB adalah RM544 juta. Ini merangkumi perbelanjaan bagi infrastruktur rangkaian, perkakasan rangkaian dan juga modal kerja.”

Rangkaian 5G yang tersedia di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya kini, akan diperluaskan ke Pulau Pinang, Johor, Sabah, Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan serta Melaka tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.