Isu MB: Saya ada prinsip, kuasa perlu ‘sendal’ kepada kebijaksanaan, jelas Shahrir

Isu MB: Saya ada prinsip, kuasa perlu ‘sendal’ kepada kebijaksanaan, jelas Shahrir

Shahrir Samad berkata beliau ditanya mengapa dirinya dilihat seolah-olah mempersoalkan kuasa Raja menentukan siapa layak memegang jawatan menteri besar.

Shahrir Samad berkata, dalam soal hubungan antara parti dengan Raja beliau mempunyai pendirian sendiri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Veteran Umno Shahrir Abd Samad menegaskan mempunyai prinsip tersendiri berkait isu pelantikan menteri besar Johor apabila beliau dilihat seperti tidak bersetuju dengan perkara itu.

Ketua Umno Johor Bahru itu berkata, selepas mengeluarkan kenyataan “malu” untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) berikutan Hasni Mohammad tidak dilantik sebagai menteri besar, beliau ditanya mengapa dirinya dilihat seolah-olah mempersoalkan kuasa Raja untuk menentukan siapa layak memegang jawatan itu.

“Dalam soal hubungan antara parti (Umno) dengan Raja, saya mempunyai pendirian saya sendiri. Tidak setiap masa, saya menyokong parti dalam soal ini dan tidak setiap masa, saya menyokong Raja pula.

“Jadi, saya bukan ‘royalist’ atau tegar Umno, saya ada prinsip saya sendiri sebagai seorang demokrat. Kuasa bagi saya haruslah bersendalkan kepada kebijaksanaan,” katanya di Facebook.

Shahrir turut memberikan contoh ketika krisis perlembagaan berikutan Yang di-Pertuan Agong tidak berkenan terhadap undang-undang diluluskan oleh Parlimen, beliau mengambil keputusan untuk bersama parti.

“Apabila parti pula nak mansuhkan Timbalan Setia Johor, iaitu JMF, saya melobi Ghani Othman (bekas menteri besar) untuk minta ditarik balik Rang Undang-Undang itu. Maka selamatlah suatu warisan negeri Johor,” katanya.

Sebelum ini, Shahrir dilaporkan berkata, beliau “malu” atas ura-ura Hasni tidak dilantik semula sebagai menteri besar Johor susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN), Sabtu lalu.

Katanya, beliau malu kerana cerita itu (Hasni tidak dilantik Menteri Besar) sampai kepadanya secara berbisik-bisik.

“Umno sudah pasti dengan Hasni sebagai menteri besar. Tapi itu tidak cukup kuat dan Umno Johor tidak mampu lakukan apa-apa.

“Jadi, saya malu hendak ke PAU hujung minggu ini. Boleh mendapat mandat rakyat, tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.