KWSP: Dividen banyak peringkat akan saksi larian dana, kata pakar

KWSP: Dividen banyak peringkat akan saksi larian dana, kata pakar

Pakar memberi amaran bahawa golongan berpendapatan tinggi yang sudah membayar lebih cukai akan mengeluarkan dana KWSP mereka untuk melabur di tempat lain.

Pakar ekonomi pembangunan, Suffian Jusoh berkata, pengeluaran yang kerap antara lain akan membawa kepada kewujudan negara berkebajikan yang mungkin memaksa kerajaan menaikkan kadar cukai.
PETALING JAYA:
Sebarang langkah memperkenalkan pembayaran dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) banyak peringkat hanya akan menyaksikan pengeluaran dana pencarum “kaya” yang akan mengakibatkan dana persaraan lebih terdedah, kata pakar ekonomi.

Mereka berkata, kumpulan berkenaan yang sudah membayar cukai lebih tinggi tidak boleh diminta untuk memikul beban menambah simpanan sebanyak 50% daripada 15 juta ahli yang mengeluarkan sebahagian besar simpanan mereka dengan meninggalkan baki kurang RM10,000 dalam akaun masing-masing.

Pengarah Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia, Sufian Jusoh berkata, kerajaan akan dilihat tidak adil kerana membebankan golongan itu.

“Kerajaan mesti bertanggungjawab dalam memastikan jaringan keselamatan sosial yang sesuai untuk warga B40, M40 dan ke bawah.

“Kumpulan ini (yang berpendapatan tinggi) sudah tentu akan mengeluarkan dana mereka, yang pastinya akan menjejaskan pelaburan KWSP.

“Apabila anda membenarkan ahli untuk menarik diri di bawah skim khas, negara akhirnya akan menghadapi beban yang besar dengan pesara tidak mempunyai cukup simpanan untuk bertahan,” katanya kepada FMT.

Sufian Jusoh.

Minggu lalu, ketika mendesak pengeluaran i-Citra KWSP sebanyak RM10,000, Najib Razak antara lain mencadangkan dana itu memperkenalkan pembayaran dividen secara berperingkat.

Ini bermakna mereka yang mempunyai simpanan lebih rendah mendapat peratusan lebih tinggi manakala mereka yang mempunyai simpanan lebih tinggi akan mendapat peratusan lebih rendah.

Sufian berkata, ini mungkin menyebabkan sebahagian besar pesara tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menghadapi hari persaraan, sekali gus bermakna kerajaan campur tangan dengan memberi lebih banyak bantuan secara berkala dengan menjadikan Malaysia sebuah negara kebajikan.

“Ini bermakna kerajaan akan terpaksa menaikkan kadar cukai dalam keadaan gaji di Malaysia masih rendah. Apabila ini berlaku, pelabur mungkin akan menjauhkan diri dan saya takut untuk memikirkan apakah yang akan berlaku kepada ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu ada cara yang lebih kreatif untuk membantu 50% ahli KWSP dengan simpanan rendah, yang kini berada dalam keadaan semakin buruk selepas beberapa siri pengeluaran khas dibenarkan.

“Pertama sekali, mereka harus menghentikan pengeluaran khas yang merupakan langkah populis yang dianjurkan oleh ahli politik.”

Seorang bekas pegawai kanan KWSP memberi amaran, jika pengeluaran KWSP “tidak ditutup”, kesannya akan merugikan kerajaan, dengan berkata, langkah itu bercanggah dengan objektif yang telah dibina oleh pengasas skim itu selama bertahun-tahun.

“Pada suatu ketika, KWSP merupakan dana persaraan ketujuh terbesar di dunia, malah negara membangun datang untuk mempelajari cara kita menguruskannya.”

Enggan mendedahkan identitinya, pakar ekonomi itu berkata, mereka yang mempunyai simpanan lebih tinggi dan sudah membayar cukai lebih tinggi dan mencarum jumlah besar dalam KWSP, sudah pasti tidak akan menerima cadangan pembayaran dividen berperingkat itu.

“Mereka akan mengeluarkan semua wang mereka dan melihat pilihan lain, termasuk pelaburan di luar negara. Anda tidak boleh menyalahkan mereka kerana mereka sudah membayar cukai yang tinggi.

“Sekiranya ini berlaku, keputusannya adalah tidak masuk akal sebenarnya,” katanya, selain menambah bahawa mengikut angka, 10% daripada ahli memiliki 40% daripada dana KWSP berjumlah kira-kira RM890 bilion.

Beliau berkata, telah terbukti di seluruh dunia bahawa hanya simpanan paksa dalam dana persaraan boleh membantu persaraan di hari tua kerana kebanyakannya tidak melihat faedahnya ketika mereka muda.

Katanya, agak membimbangkan bahawa pengeluaran melebihi caruman buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun, iaitu sebanyak RM58 bilion tahun lepas.

“Lembaga juga terpaksa menarik balik pelaburan bernilai RM20 bilion di luar negara tahun lepas untuk membantu kecairannya.

“Walaupun ini mungkin tidak memberi kesan jangka pendek, dengan begitu banyak ketidaktentuan, KWSP harus merancang strateginya dengan teliti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.