
Pensyarah sosiologi politik di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Sivamurugan Pandian berkata, ini kerana dari awal tempoh berkempen sehingga hari kemenangan PRN Johor, hanya satu nama Menteri Besar yang disebut, iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Hasni Mohammad.
Katanya, jika ada pihak lain mahu pelantikan Menteri Besar yang baharu bermakna parti itu harus mampu menguruskan isu itudengan baik serta memastikan ia tidak menjejaskan kredibilitinya.
“Sudah pasti jika beliau (Hasni) tidak dilantik, saya percaya akan ada perselisihan dalaman yang tidak dapat dielakkan sama sekali kerana para penyokong beliau (Hasni) bertungkus lumus mengekalkan popularitinya sebagai tonggak kemenangan PRN Johor.
“Lazimnya Umno akan mampu meleraikan kekusutan ini secara damai dan mengadakan perbincangan secara musyawarah dan saya percaya parti itu tidak akan benarkan isu ini berpanjangan kerana mereka tahu Hasni merupakan seorang tokoh yang berwibawa dan luar biasa,” katanya.
Sivamurugan berkata demikian ketika menjadi tetamu program “Ruang Bicara-PRN Johor Selesai, PRU15 Pula Dicanang” terbitan Bernama TV yang dihoskan oleh Sherkawi Jirim, malam tadi.
Katanya, jika ia tidak diselesaikan dengan baik, ini bermakna pasca PRN akan ada orang akan mempersoalkan adakah wujudnya kemelut dalaman parti dengan kemunculan nama lain sebagai calon Menteri Besar, lebih-lebih lagi apabila ia hampir dengan Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada minggu ini.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kartini Aboo Talib@Khalid pula berkata, selain Hasni, dua nama yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Menteri Besar mempunyai kredibiliti dan kekuatan tersendiri dalam kepemimpinan politik.
“Antaranya pemenang kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Rengit Mohd Puad Zakarshi juga bukan orang baharu dalam Umno kerana beliau sudah lama berkecimpung dalam politik dan faham keadaan selain kelebihannya memiliki ijazah doktor falsafah.
“Selain itu, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Machap, Onn Hafiz Ghazi yang merupakan cicit pengasas Umno, Onn Jaafar dan cucu bekas Perdana Menteri ketiga, Hussein Onn mempunyai salasilah keturunan tebal politik serta usianya yang muda, selain berpendidikan tinggi dan latar belakang sebagai akauntan.
“Di situ kita boleh nampak bahawa salasilah keturunan, pengalaman politik sejak 2006 serta semangat orang mudanya yang memberi keyakinan jika Hasni mahu mencadangkan orang muda untuk menerajui kepimpinan negeri Johor,” katanya.
Kelmarin, Hasni dilaporkan akan dicadangkan sebagai calon tunggal Menteri Besar untuk mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar, namun beliau mencadangkan supaya pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor.
Pada PRN Johor yang berakhir kelmarin, Hasni menang dengan majoriti selesa lebih 5,000 undi mengatasi tiga pencabarnya di kerusi DUN Benut.
Pada 28 Feb 2020, Hasni sah menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim.