Menang besar PRN Johor, ‘timing’ PRU, nasib MN bakal warnai PAU 2021

Menang besar PRN Johor, ‘timing’ PRU, nasib MN bakal warnai PAU 2021

Kedudukan Ismail Sabri dalam parti juga akan menjadi perhatian pada PAU kali ini.

Perhimpunan Agung Umno akan berlangsung dari 16 hingga 19 Mac di Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang bermula esok dijangka menjadi medan pucuk pimpinan parti itu menguatkan desakan akar umbi yang mahu PRU15 disegerakan susulan kemenangan bergaya di Johor dan sebelum ini Melaka.

Pada PRN Johor Sabtu lalu, BN meraih 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk meraih kemenangan melebihi majoriti 2/3, berbanding Perikatan Nasional (PN) tiga, Pakatan Harapan (PH) 12 dan MUDA satu kerusi.

Desakan supaya PRU diawalkan tanpa menunggu tamat tempoh penggal kerajaan berkumandang di Johor namun ditepis oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden Umno.

Tentunya beliau tidak boleh dengan mudah menolak desakan yang sama jika ia dibuat dalam PAU, iaitu badan tertinggi Umno.

Penganalis politik, Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani tidak menolak kemungkinan PAU kali ini akan disusuli dengan PRU15 dalam masa terdekat.

“PAU kali ini agak istimewa kerana ia mungkin PAU terakhir sebelum PRU15 kerana terdapat desakan supaya PRU diadakan, tetapi dalam masa sama akan ada juga pemilihan parti,” katanya kepada FMT.

Spekulasi meluas bahawa kalangan pemimpin Umno tidak mahu Ismail melanjutkan memorandum kerjasama dengan PH yang tamat Julai ini, sebaliknya mahukan beliau membubarkan Parlimen.

Ini bertujuan meneruskan rentak kemenangan besar yang dikecapi Umno selaku tonggak BN pada PRN Johor dan Melaka, khususnya menumpaskan PN yang merangkumi Bersatu dan PAS – yang bersaing dengan Umno untuk undi Melayu.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, pimpinan parti tidak menyekat perwakilan menyuarakan sebarang isu – asalkan tidak sensitif – pada PAU itu.

Justeru selain PRU15, persoalan menarik ialah sama ada perwakilan akan mengupas hubungan Umno dan PAS, khususnya dalam konteks Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan dua parti itu pada 2019.

Pada tahun berikutnya, PAU meluluskan resolusi menggesa parti itu memperkukuhkan kerjasama dengan PAS tetapi mahu hubungan dengan Bersatu diputuskan.

Bagaimanapun, susulan tindakan PAS bekerjasama malah memperkukuhkan hubungan dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu menyebabkan masa depan MN kini ibarat hidup segan mati tak mahu.

Justeru perwakilan kali ini berkemungkinan memberi isyarat jelas kepada parti mengenai masa depan MN jika PAS terus berpaut pada Bersatu.

Sebarang pendirian menolak MN mahupun PAS dijangka memberi tamparan kepada pemimpin tertentu dalam Umno seperti Annuar Musa yang kerap menggesa supaya parti itu tidak menolak PAS mahupun Bersatu.

Alasan bahawa Umno-BN tidak boleh memenangi PRU tanpa PAS dan Bersatu yang kerap disuarakan oleh PAS dan pemimpin tertentu Umno dilihat tersasar bersandarkan keputusan PRN Johor dan Melaka.

Melihat situasi ini, Azizuddin berpendapat PAU kali ini akan menjadi titik noktah hubungan berkenaan berdasarkan keputusan PAS bersama PN terutamanya pada PRN Johor.

“Jadi akan ada desakan untuk ditamatkan hubungan itu dalam PAU,” kata beliau, yang juga merupakan pensyarah kanan politik dan hubungan antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Di Johor, selain PH dan PN, Umno-BN dicabar 13 parti lain, namun gabungan itu meraih kemengan majoriti meskipun undi popular yang diperolehi gabungan itu hanya sebanyak 43%.

Selain 33 kerusi yang dimenangi Umno, parti komponen BN seperti MCA dan MIC turut bangkit semula dengan masing-masing memenangi empat dan tiga kerusi sekali gus memperlihatkan kemampuan BN menarik sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu.

Segala faktor ini memperkuatkan keyakinan pemimpin seperti Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan, bahawa Umno-BN kini dalam keadaan kukuh untuk bertanding sendiri pada PRU tanpa Bersatu mahupun PAS.

Selain itu, soal siapakah Menteri Besar Johor dijangka menjadi tumpuan susulan spekulasi Hasni Mohamad tidak terpilih, walaupun beliau disebut-sebut sebagai calon gabungan itu ketika BN berkempen dan akhirnya meraih kemenangan majoriti 2/3 apabila pengundian selesai.

Belum dipastikan apakah yang mendorong Hasni untuk mencadangkan kepada pucuk pimpinan Umno supaya memilih “orang muda” untuk memimpin Johor. Namun perkembangan terbaharu ini menyebabkan Ketua Umno Johor Bahru, Shahrir Samad, sendiri “berasa malu hendak pergi ke PAU”, menurut kenyataan.

PAU akan berlangsung dari 16 hingga 19 Mac di Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.