Isu kepimpinan MTUC 30 bulan akhirnya selesai, Halim ambil alih

Isu kepimpinan MTUC 30 bulan akhirnya selesai, Halim ambil alih

Mohd Jafar Majid mengambil keputusan untuk menarik diri semalam dan penyandang, Halim Mansor akan mengambil alih jawatan Presiden MTUC.

Halim Mansor kini mengambil alih jawatan Presiden MTUC selepas Mohd Jafar Majid (kiri) secara rasmi menarik diri daripada persaingan.
PETALING JAYA:
Isu jawatan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang timbul sejak Ogos 2019 susulan pemilihannya yang berakhir dengan keputusan seri akhirnya selesai selepas salah seorang daripada calon terbabit menarik diri hari ini.

Mohd Jafar Majid menghantar surat penarikan diri daripada kepimpinan MTUC kepada kesatuan itu dan juga Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Bekas timbalan presiden itu yang kini mengetuai Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Telekom berkata, beliau menarik diri untuk memastikan pusat buruh negara kembali ke landasan yang betul, selain menambah bahawa penyandang Halim Mansor akan mengambil alih jawatan presiden.

MTUC berdepan isu kepimpinan sejak 19 Sep 2019 selepas pemilihan ahli jawatankuasa untuk mengetuai pergerakan itu untuk tempoh tiga tahun akan datang berkesudahan dengan undian jawatan presiden berakhir dengan keputusan seri.

Pemilihan akan datang adalah pada akhir tahun ini.

“Kepimpinan baharu sepatutnya menyelesaikan isu ini dengan mengadakan pemilihan baharu untuk jawatan tertinggi antara Halim dan saya sendiri. Bagaimanapun, atas sebab yang diketahui oleh mereka sendiri, mereka menangguhkannya,” kata Jafar kepada FMT.

“Dengan cabaran besar dihadapi oleh MTUC daripada realiti baharu berikutan pandemik Covid-19, kepimpinan gagal menyelesaikan kebuntuan jawatan tertinggi itu walaupun digesa oleh ahli dan JPPM.

“Apabila jelas bahawa sebarang pemilihan semula hanya melibatkan Halim dan saya sendiri, pucuk pimpinan bertegas untuk mengadakan pemilihan semula dalam kalangan kami bertiga sekali lagi, termasuk Badrulzaman Mohd Gazali, iaitu calon yang kalah. Kami membantah keras tindakan sedemikian kerana ia tidak rasional.”

Jafar berkata, Badrulzaman meninggal dunia pada Ogos tahun lalu dan ini bermakna pesaing yang tinggal hanya Halim dan beliau sendiri.

Sungguhpun begitu katanya, kepimpinan gagal mengadakan pemilihan yang pastinya lebih mudah dengan hanya dua calon.

“Untuk menyelamatkan MTUC daripada terus mencemarkan nama baiknya, saya memutuskan untuk menarik diri daripada persaingan. Ini bermakna Halim secara automatik akan memegang jawatan presiden serta-merta. Tidak perlu ada sebarang pemilihan atau majlis umum untuk membuat sebarang keputusan mengenai jawatan itu,” katanya.

Dengan langkah itu Jafar berkata, MTUC kini boleh bergerak ke hadapan dan mengembalikan maruah pergerakan itu yang terjejas setelah membiarkan isu jawatan presiden berlarutan tanpa penyelesaian untuk sekian lama sedangkan ia boleh dilakukan dengan mudah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.