
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, memberi pesanan itu susulan tindakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali mengumumkan keluar daripada PAS dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas semalam.
“Walaupun Khairuddin telah isytihar keluar PAS, saya harap Ahli-ahli Parlimen PAS, begitu juga ADUN beristiqamahlah dalam perjuangan ni.
“Peganglah kepada perjanjian kita masa dipilih menjadi calon dulu dan teruskan perjuangan ini,” katanya kepada FMT.
Hashim berkata, setiap ahli PAS yang dipilih menjadi calon dalam pilihan raya perlu berikrar untuk taat kepada Allah dan patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Mereka juga tidak boleh menggunakan wang elaun sebagai ahli dewan setelah meletak jawatan atau dipecat.
“Memanglah. Nak jadi calon tu dia ada baiah. Baiah tu (bermaksud) kalau saya keluar daripada perjuangan PAS ini, segala hasil elaun dia tak boleh makan. Baiah terpakai untuk semua pemimpin PAS, dia bersumpah dengan nama Allah, itu adalah baiah.
“Saya difahamkan Takiri (Khairuddin) akan bayar semua,” katanya.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu juga tidak menolak kemungkinan tindakan Khairuddin itu diambil selepas digugurkan sebagai ahli Jawatankuasa Pusat PAS awal tahun ini.
Menurutnya, Khairuddin telah menyatakan hasrat itu ketika perbincangan bersama pimpinan PAS mengenai keputusan tersebut.
“Ya, dia letak jawatan setelah berbincang. Perbincangan dengan pihak tertinggi PAS. Pihak tertinggi memang dah tahu dia nak keluar parti,” katanya.
Sebelum ini Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendakwa pengguguran itu dibuat atas sebab disiplin, namun tidak menghuraikannya.
Khairuddin memenangi kerusi Parlimen Kuala Nerus pada 2013 dan mengekalkannya pada PRU 2018. Beliau pernah menjawat jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ketika pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.