
Pejabat Speaker Dewan Rakyat mengesahkan perkara itu dan memaklumkan jawapan bertulis daripada Najib sudah dihantar, sebelum 10 pagi tadi.
“Ya, Datuk Seri Najib sudah menghantar (jawapan bertulis) sebelum pukul 10 pagi tadi,” katanya menurut laporan Utusan.
Pada 3 Mac lalu, blok pembangkang mengemukakan usul supaya Najib itu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat.
Tony Pua (PH-Damansara) ketika membangkitkan perkara itu berkata, kenyataan dibuat Najib ketika membahaskan usul Titah DiRaja disifatkan sebagai menghina majlis.
Ia berikutan kenyataan dibuat Najib sehari sebelum itu, mendakwa tidak ada satu sen pun wang rakyat digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB.
Katanya, bayaran sebanyak RM16.4 bilion diterima daripada syarikat Goldman Sachs bukan wang rakyat, sebaliknya wang bank terbabit yang boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
Bagaimanapun, Azhar sebelum ini, berkata Najib tidak mengingkari arahannya walaupun tidak menjelaskan isu 1MDB seperti diarahkan sebelum ini.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 11 Mac lalu pula mengesahkan beliau telah menghantar surat kepada Azhar bagi menjelaskan isu berhubung 1MDB.