Ahli Parlimen pembangkang tuntut Rina, Zailah dedah bukti pertemuan dengan NGO OKU

Ahli Parlimen pembangkang tuntut Rina, Zailah dedah bukti pertemuan dengan NGO OKU

Gabungan NGO OKU mendakwa Rina dan timbalannya tidak menghadiri mana-mana dialog yang dianjurkan.

Ahli Parlimen Segambut Hanna Yeoh berkata, sekiranya benar pihak kementerian ada berjumpa dengan kumpulan berkenaan, mengapa mereka datang berjumpa wakil rakyat pembangkang untuk membawa isu berkenaan.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen pembangkang hari ini mendesak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan bukti sekiranya benar menteri dan timbalan Menterinya mengadakan perjumpaan dengan kumpulan Orang Kurang Upaya (OKU) berhubung isu projek rintis Pembayaran Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanpa Tunai (JKMPay).

Hannah Yeoh (PH-Segambut) berkata sekiranya benar pihak kementerian ada berjumpa dengan kumpulan berkenaan, mengapa mereka datang berjumpa wakil rakyat pembangkang untuk membawa isu berkenaan.

“NGO ini bangkitkan menteri dan timbalan menteri tidak mahu berjumpa dengan mereka, mereka datang protes di kementerian tak dapat jumpa.

“Kementerian janji bagi maklum balas dua minggu tetapi tak dapat maklum balas. Kemudian adakan perjumpaan KSU (Ketua Setiausaha kementerian) berjumpa mereka, kemudian mereka datang protes di Parlimen, (menteri) masih tak dapat bertemu dengan mereka jadi kalau dah tiga kali OKU tak dapat jumpa, bagaimana?,” tanya Ahli Parlimen DAP itu.

Dakwaan itu bagaimanapun disangkal oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff sambil menegaskan beliau ada berjumpa dengan kumpulan NGO OKU berkenaan pada perjumpaan kali pertama di kementerian.

“Saya jumpa dengan mereka, malah datang kali pertama saya jamu makan mereka. Jangan salah tafsir, cuma perjumpaan kali kedua itu bertembung dengan tarikh saya ada mesyuarat lain,” balasnya.

Lim Lip Eng (PH-Kepong) kemudian mencelah: “Kalau ada jumpa, tunjuklah gambar perjumpaan.”

Dalam satu protes di hadapan Jalan Parlimen pada 4 Mac lalu, gabungan 11 NGO OKU menafikan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Rina Harun bahawa penerima skim pembayaran tanpa tunai JKMPay untuk OKU telah dirujuk dan diberi taklimat.

Malah, kumpulan itu mendakwa Rina dan timbalannya tidak menghadiri mana-mana dialog yang dianjurkan.

Sebelum ini, gabungan Persatuan OKU dari seluruh negara menyerahkan memorandum bantahan kepada Rina yang mendesak program itu dimansuhkan.

Mereka mendakwa pelaksanaan JKMPay itu menindas golongan OKU kerana menyekat kebebasan mereka untuk berbelanja melalui wang bantuan yang diterima.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.