Puad tolak spekulasi disenarai pendek jawatan MB Johor bersama Hasni

Puad tolak spekulasi disenarai pendek jawatan MB Johor bersama Hasni

Spekulasi itu bertebaran apabila masih tiada upacara mengangkat sumpah Menteri Besar selepas hampir 48 jam keputusan PRN Johor diumumkan.

Tular di media sosial mengatakan selain Hasni Mohammad, dua lagi nama turut dipersembahkan kepada Sultan Johor sebagai calon Menteri Besar, iaitu Puad Zarkashi dan ADUN Machap, Onn Hafiz Ghazi. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi menegaskan beliau tidak mengetahui atau dimaklumkan mengenai namanya yang didakwa disenarai pendek sebagai calon Menteri Besar Johor.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit urut menegaskan pendiriannya tidak mahukan jawatan itu dan Hasni Mohammad adalah individu paling layak dilantik menjadi Menteri Besar.

Sehingga kini, masih tiada makluman mengenai sebarang upacara mengangkat sumpah Menteri Besar walaupun sudah hampir 48 jam keputusan PRN Johor diumumkan pada Sabtu.

Terdahulu, tular di media sosial yang memetik sumber mengatakan selain Hasni, dua lagi nama turut dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai calon Menteri Besar, iaitu Puad dan ADUN Machap, Onn Hafiz Ghazi.

“Ini (disenarai sebagai calon Menteri Besar) saya takda dengar cerita atau dimaklumkan apa-apa.

“Cukup jelas pendirian saya sebelum ini menyokong Hasni sebagai Menteri Besar, itu keputusan MKT, tetapi apa yang berlaku selepas itu saya tak tahu.

“Zahid (Ahmad Zahid Hamidi) jumpa Tuanku pun saya tidak tahu dan dimaklumkan, saya disenarai pendek pun tak tahu,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno menghadap Sultan Ibrahim di sini kira-kira 3 petang tadi dan pertemuan berlangsung hampir sejam.

Kini, Zahid dan Hasni sedang mengadakan pertemuan tertutup di Pejabat Perhubungan Umno Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.