Onn Hafiz MB baharu Johor?

Onn Hafiz MB baharu Johor?

Spekulasi bertebaran ADUN Machap, Onn Hafiz Ghazi akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang baharu dan akan mengangkat sumpah jawatan esok.

ADUN Machap, Onn Hafiz Ghazi adalah anak saudara Hishammuddin Hussein dan cicit kepada Onn Jaafar yang mengasaskan Umno. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Spekulasi bertebaran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Onn Hafiz Ghazi akan dilantik sebagai Menteri Besar baharu Johor, dan akan mengangkat sumpah jawatan esok.

Perkembangan terbaharu itu menyusul gesaan ADUN Benut, Hasni Mohammad supaya Barisan Nasional (BN) memilih orang muda untuk memimpin Johor, walaupun beliau sebelum ini diangkat sebagai calon MB gabungan itu.

Onn Hafiz berusia 43 tahun dan dilihat pemimpin muda berwibawa di negeri itu. Pada pilihan raya negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, beliau menewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 11,029 undi.

Sehingga kini, tiada makluman rasmi mengenai upacara mengangkat sumpah Menteri Besar, selepas hampir 48 jam keputusan PRN Johor diumumkan.

Bagaimanapun, sumber mengatakan majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Johor akan berlangsung di istana negeri esok.

Anak saudara kepada Hishammuddin Hussein dan cicit kepada Onn Jaafar yang mengasaskan Umno, Onn Hafiz berkecimpung dalam dunia politik dengan menyertai Pemuda Umno Sembrong pada 2006.

Petang tadi, Zahid dilaporkan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Johor Bahru dalam pertemuan hampir sejam.

Sebelum itu, Zahid dan Hasni dilapor mengadakan mesyuarat di Johor Bahru. Hasni kemudian mengeluarkan kenyataan mahukan pemimpin muda menerajui negeri itu, susulan kemenangan besar BN pada PRN Sabtu lalu.

“Demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan agar pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri Johor.

“Di bawah kepimpinan baharu, Johor akan menjadi lebih makmur dan sejahtera. Tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim,” kata Hasni dalam kenyataan tanpa menghurai lanjut.

Zahid sebelum ini berkata, Hasni akan dinamakan sebagai calon Menteri Besar untuk dilantik oleh Istana Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.