
Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali, berkata mengikut perancangan, terowong itu akan dibina merentasi Selat Melaka.
“Ini adalah perancangan jangka panjang. Jarak paling hampir antara Melaka dan Dumai ialah 47km,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Melaka Week di Expo 2020 Dubai di Pavilion Malaysia hari ini.
Mengulas perkara sama, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri, Ab Rauf Yusoh, berkata setakat ini, sebuah firma menyatakan minat untuk membina terowong itu.
Beliau bagaimanapun berkata, projek itu memerlukan persetujuan dan kelulusan kerajaan Indonesia sebelum pembinaannya dijalankan.
“Firma dari Malaysia hanya mampu menampung 50% daripada kos keseluruhan projek.
“Jika semuanya berjalan lancar, pembinaan terowong itu akan mengambil masa empat ke lima tahun,” katanya.
Projek itu dijangka mampu menyumbang kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar yang lebih tinggi bagi Melaka.
Ketika ini, ekonomi Melaka banyak bergantung kepada sektor perkhidmatan, namun sektor pembuatan juga semakin menunjukkan peningkatan.