
Bekas ahli Jawatankuasa Pusat PAS itu berkata, beliau menyerahkan surat pemberhentian keahliannya kepada Setiausaha Agung parti, Takiyuddin Hassan kira-kira 2.30 petang tadi di Parlimen.
Khairuddin bertindak keluar PAS selepas digugurkan sebagai ahli Jawatankuasa Pusat parti itu awal tahun ini.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendakwa pengguguran itu dibuat atas sebab disiplin, namun tidak menghuraikannya.
Takiyuddin turut tidak memerincikan sebab Khairuddin digugurkan daripada jawatan itu.
Tidak lama selepas itu, PAS mengumumkan Khairuddin juga digugurkan sebagai setiausaha Majlis Syura parti.
Pucuk pimpinan PAS, termasuk Takiyuddin sebelum ini menafikan tindakan ke atas Khairuddin itu berkaitan desakannya mahu PAS bersekutu dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN), sesuatu yang ditolak oleh Hadi beberapa kali.
Khairuddin tidak menolak Bersatu yang menjadi rakan komponen PAS dalam Perikatan Nasional (PN), namun mahukan parti itu turut menjadikan Umno sebagai sekutunya menerusi MN.
Pada sidang media hari ini, bekas Menteri Perusahaan perladangan dan Komoditi itu enggan menyatakan sebab beliau keluar PAS setelah menganggotai parti itu selama 33 tahun.
“Sukar untuk dijawab (soalan itu),” beliau memberitahu pemberita pada sidang media di Bangunan Parlimen.
Khairuddin berkata, beliau akan menyerahkan semua elaun bulanan sebagai Ahli Parlimen kepada PAS, bagi tempoh berbaki sehingga PRU-15.
Khairuddin yang menyertai PAS ketika berusia 16 tahun berkata, beliau tetap “sayangkan” parti itu dan menyokong perjuangannya yang selaras dengan ajaran Islam.
Semalam, Khairuddin mengingatkan pimpinan PAS untuk mendengar pandangan akar umbi parti susulan kekalahan teruknya di pilihan raya negeri (PRN) Johor Sabtu lalu.
Parti itu hanya memenangi satu daripada 15 kerusi yang ditandingi. Sebelum ini kesemua lapan calon PAS kalah di PRN Melaka.
Dua kekalahan besar itu menyusul setelah PAS memutuskan bersama Bersatu dalam PN dan menolak kerjasama dengan Umno-Barisan Nasional yang mencatat kemenangan selesa di Melaka dan Johor.
Khairuddin memenangi kerusi Parlimen Kuala Nerus pada 2013 dan mengekalkannya pada PRU 2018.