Undi rosak melebihi majoriti, BN akan fail petisyen bagi DUN Bukit Batu

Undi rosak melebihi majoriti, BN akan fail petisyen bagi DUN Bukit Batu

Ia susulan kekalahan calon MIC kepada calon PKR dengan majoriti tipis 137 undi.

SA Vigneswaran berkata, BN akan mengemukakan petisyen pilihan raya bagi Bukit Batu selepas mengambil kira undi rosak yang difahamkan melebihi 600 undi.
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan petisyen pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, susulan undi rosak jauh lebih banyak daripada majoriti, kata Presiden MIC, SA Vigneswaran.

Beliau berkata, keputusan DUN itu menyaksikan calon BN daripada MIC, S Suppayah tewas dengan perbezaan 137 undi berbanding undi rosak yang difahamkan melebohi 600 undi.

“Kita telah membuat bantahan, tetapi oleh kerana saya diberitahu bantahan itu harus dibuat melalui saluran tersebut, maka kita akan membuat rayuan kepada mahkamah supaya kita dapat memastikan pengiraan undi itu dibuat secara betul,” katanya menurut laporan Awani.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengiraan semula kertas undi bagi DUN Bukit Batu.

Difahamkan, BN meminta pengiraan semula itu dibuat selepas keputusan tidak rasmi menyaksikan calon PKR, Arthur Chiong Sen Sern memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 137 undi.

Chiong mendapat 9,439 undi, manakala Suppayah meraih 9,302 undi. Calon Perikatan Nasional (PN), Tan Heng Choon memperoleh 3,989 undi dan calon Warisan, Lee Ming Wen mendapat 1,349 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.