Simpanan KWSP makin kurang, pelan insurans kesihatan penting, kata bekas ketua MMA

Simpanan KWSP makin kurang, pelan insurans kesihatan penting, kata bekas ketua MMA

Dr N Ganabaskaran berkata, ini demi menjamin pesara tidak 'tersadai' selepas berusia 60 tahun dan tidak bekerja lagi.

Dr N Ganabaskaran berkata, tanpa pelan insurans kesihatan, kerajaan akan dibebani kos perubatan tinggi kerana 15% rakyat Malaysia akan berusia 60 tahun ke atas dalam tempoh 10 tahun.
PETALING JAYA:
Dengan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semakin berkurangan dan pertambahan penduduk berusia, kerajaan perlu memperkenalkan skim insurans kesihatan kepada pesara, kata bekas Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran.

Beliau berkata, tiba masanya untuk kerajaan mengadakan perbincangan semula berhubung pelaksanaan pelan itu, yang pertama kali dibangkitkan 25 tahun dahulu.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan semula cadangan pelan itu, lebih-lebih lagi simpanan KWSP pesara semakin berkurangan akibat pengeluaran pada hari tua mereka.

“Terdapat keperluan mendesak untuk pelan simpanan insurans kesihatan yang perlu diperkenalkan kepada semua rakyat Malaysia kerana 15% populasi negara ini akan berusia 60 tahun ke atas dalam tempoh 10 tahun.

Dr N Ganabaskaran.

“Satu skim insurans kesihatan kebangsaan dicadang dan dibincangkan 25 tahun lalu, namun tidak dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan skim insurans itu akan menjamin pesara tidak “tersadai” selepas berusia 60 tahun apabila mereka tidak bekerja lagi.

“Untuk (pelan insurans kesihatan) ini dilaksanakan, badan profesional seperti MMA dan badan bukan kerajaan yang mewakili warga emas perlu dilibat uruskan.”

Katanya, isu penting ini akan dibincangkan dalam Persidangan Hibrid Malaysia ke-10 mengenai Penuaan Malaysia Sihat dari 15 hingga 17 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.