
Beliau berkata ketika sokongan terhadap parti pembangkang kekal kuat, sikap mementingkan diri sendiri, ego dan kepimpinan yang ketinggalan zaman telah menyebabkan mereka tewas.
“Daripada melawan Barisan Nasional (BN), mereka sebaliknya melawan antara satu sama lain secara tidak masuk akal.
“Dalam kes PKR, malah ia meninggalkan Pakatan Harapan (PH) kerana percaya logo mereka akan membawa kemenangan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Pada Januari, Ketua PKR Anwar Ibrahim berkata Majlis Presiden PH telah bersetuju untuk membenarkan partinya menggunakan logo sendiri dalam PRN Johor manakala Amanah dan DAP akan bertanding di bawah logo PH.
Tambah kadir, walaupun BN menang 71% kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) (40 daripada 56), namun ia kalah dari segi undi popular.
“BN hanya menerima 43% undi popular berbanding 57% oleh pembangkang,” katanya.
Berikutan itu katanya, semua pemimpin parti-parti ini harus memberi laluan kepada belia untuk mengambil alih.
“Mereka (pemimpin lama) telah menjadi liabiliti kepada parti dan merampas peluang pemimpin muda yang berbakat untuk memimpin,” katanya.
Beliau mencadangkan beberapa ahli politik lama yang harus menjadi teras bagi pemimpin masa hadapan merentasi spektrum politik, termasuk Khairy Jamaluddin, Loke Siew Fook dan Salahudin Ayub.
“Kita akan melakukannya dengan baik sekiranya kita mempunyai pemimpin muda, yang tidak tercemar (atau kurang tercemar) untuk memerintah negara,” katanya.
Walaupun terdapat kelemahan dalam PRN Johor, Kadir berkata masih ada harapan untuk masa depan apabila 63 calon yang bertanding adalah berusia 40 tahun ke bawah.
“BN patut dipuji kerana meletakkan calon berusia bawah 40 tahun paling ramai (14).
“Mungkin masih ada harapan untuk Umno/BN yang lebih bersih, dengan syarat anak muda ini tidak dirosakkan oleh jenis Bossku,” katanya.