
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, bersetuju sudah tiba masanya untuk memulakan persediaan bagi PRU akan datang, yang perlu diadakan menjelang pertengahan 2023.
Katanya, perkara terbaik untuk dilakukan sekarang ialah mengkaji semula semua perkara berkaitan, termasuk sentimen rakyat.
“Sekiranya benar-benar sudah siap, saya fikir elok disegerakan. Bila tarikhnya, terserah kepada budi bicara PM setelah berunding secara dalaman dengan Majlis Kerja Tertinggi Umno,” tulisnya dalam Facebook hari ini.
Dalam catatan berbeza, Annuar berkata, masa terbaik untuk PRU diadakan ialah ketika Umno berjaya menyatukan saf politik orang Melayu “agar kita tidak terjun ke PRU dalam suasana bercerai berai”.
Kenyataan itu dilihat merujuk perpecahan antara Umno dan bekas sekutu politiknya, Bersatu serta PAS. Annuar berkata, Umno ditubuhkan untuk menyatupadukan kekuatan orang Melayu.
Beliau turut memuji kenyataan Ismail hari ini bahawa PRU tidak boleh diadakan hanya kerana “satu kumpulan kecil menjerit-jerit nak pilihan raya”, yang disifatkannya menggambarkan kebijaksanaan dan kematangan berpolitik seorang Perdana Menteri.
Annuar berkata, PRU bukan perkara kecil kerana ia membabitkan pembubaran kerajaan memerintah yang mendapat mandat hampir semua ahli Dewan Rakyat.
Katanya, Ismail mewakili parti minoriti dalam Dewan Rakyat yang dianggotai 222 ahli kerana BN hanya menguasai 41 kerusi yang dipegang gabungan pemerintah, serta perlu mengambil kira perbincangan dalam kerajaan.
Ismail mengetuai gabungan yang terdiri daripada BN (41 kerusi), Perikatan Nasional (53), GPS di Sarawak (18), PBM (2) dan PBS (1). Gabungan itu turut mendapat sokongan Pakatan Harapan (90) yang memeterai memorandum persefahaman untuk mengekalkan kestabilan politik sehingga penggal Parlimen tamat tahun depan.
Annuar berkata, tarikh pembubaran Dewan Rakyat perlu menjadi rahsia besar parti pemerintah dan tidak boleh ditentukan melalui desakan terancang serta terbuka.
“Ia umpama memasang jerat di kepala sendiri. Ia harus kekal rahsia dan sebagai hak budi bicara PM,” katanya sambil menambah persediaan untuk PRU memerlukan pucuk pimpinan tertinggi bertanggungjawab ke atas kesediaan parti dari segi sumber, logistik, kewangan, organisasi dan strategi.
Beliau berkata, kemenangan BN di PRN Melaka dan Johor disebabkan pucuk pimpinan tahu kesiapsiagaan mereka, selain sentimen rakyat dalam menyokong keputusan kerajaan negeri.
“Di pusat, sentimen ini perlu diteliti. Sekiranya berbuat sesuatu lain daripada sentimen rakyat, mereka akan memberi reaksi melalui peti undi.”
Annuar berkata, keputusan dua PRN itu turut disebabkan sokongan daripada ibu pejabat parti, Perdana Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Menteri dan Ketua Bahagian di seluruh negara yang tidak boleh ditandingi parti lain.
“Dalam PRU, situasi ini tidak akan berlaku lagi. Semua kawasan akan sibuk menjaga kawasan masing-masing. Sekiranya persiapan, terutama sumber dan kewangan tidak mencukupi, seluruh jentera akan lumpuh sama sekali.”