MUDA akan bina sokongan dalam kalangan pengundi muda, kata Syed Saddiq

MUDA akan bina sokongan dalam kalangan pengundi muda, kata Syed Saddiq

Presiden MUDA berkata, partinya sudah melakukan yang terbaik bersama pengundi muda dengan menjadi pilihan kedua kepada mereka.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, wakil rakyat baharu dari partinya, Amira Aisya Abd Aziz, akan bekerja keras bagi mendapatkan lebih banyak sokongan belia Johor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
MUDA akan membina sokongannya dalam kalangan pengundi uda di Johor dengan “menjadi pembangkang berkualiti”, kata Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas parti itu memenangi satu kerusi menerusi penyertaan sulungnya dalam pilihan raya.

Bercakap dalam sidang media selepas berakhirnya pilihan raya negeri (PRN) Johor, Ahli Parlimen Muar itu, berkata partinya sudah melakukan yang terbaik bersama pengundi muda, dengan menjadi pilihan kedua kepada mereka.

“Jika kita melihat prestasi MUDA (dalam PRN Johor), seperti kerusi di Bukit Permai dan Tenang, MUDA menerima 30% ke 35% sokongan daripada belia Johor.

“Pada masa sama, kita juga ada kerusi di mana MUDA hilang deposit, walaupun peratusan keluar mengundi adalah rendah.

“Kita akui pilihan raya ini tidak mudah bagi parti berusia dua bulan yang bertanding atas tiket sendiri. Sama ada kita menang atau kalah (dalam pilihan raya), kita perlu teruskan dengan khidmat politik kita.”

Syed Saddiq juga mengucapkan tahniah kepada Setiausaha Agungnya, Amira Aisya Abd Aziz, yang menang di kerusi Puteri Wangsa, dengan majoriti 7,114 undi.

MUDA tewas di enam kerusi – Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Bukit Permai dan Larkin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.