Fungsi PN hanyalah pecah undi Umno, kata penganalisis

Fungsi PN hanyalah pecah undi Umno, kata penganalisis

Penganalisis berkata kempen Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin tidak cukup untuk memenangi hati pengundi di negeri kelahirannya di Johor.

Perikatan Nasional perlu ‘memberikan sedikit masa’ sebelum menentukan hala tuju masa depan, kata penganalisis susulan kekalahan parti itu dalam PRN Johor semalam.
PETALING JAYA:
Peranan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor dilihat hanyalah untuk memecahkan undi Umno, kata seorang penganalisis.

Ketika Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, PN yang sebelum ini berkuasa di Putrajaya pula hanya mampu menang tiga kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) dengan 12 kerusi dan MUDA satu kerusi.

“Nampaknya PN kelihatan seperti versi Pejuang dan Warisan yang lebih besar yang sedikit sebanyak memecahkan undi Umno,” kata Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Keputusan yang diperolehi PN agak suram dan Pengerusinya, Muhyiddin Yassin berkata beliau bersedia untuk meletakkan jawatan susulan prestasi buruk gabungan itu.

Oh berkata kempen Muhyiddin yang sengit tidak cukup untuk memenangi hati pengundi di negeri kelahirannya di Johor yang memilih untuk kekal dengan Umno.

Muhyiddin mula menceburi politik selepas menyertai Umno pada 1971 dan akhirnya mencipta namanya sebagai Menteri Besar dari 1986 hingga 1995 sebelum menerajui beberapa kementerian dan menjadi Timbalan Perdana Menteri, yang mana beliau dipecat pada 2015.

“Sokongannya di Johor bermula sejak beliau berada dalam Umno dan nampaknya penyokong ini terus setia dengan Umno,” katanya.

Ketika ditanya apakah yang PN perlu lakukan berikutan kekalahannya dalam PRN Johor semalam, Oh berkata gabungan itu perlu “memberikan sedikit masa” sebelum menentukan hala tuju masa depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.