
Tindakan itu diambil oleh Inspektor Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru setelah membuat pemeriksaan aplikasi Mysejahtera milik wanita berusia 30an itu yang menunjukkan tanda merah semasa tiba di Dewan Kampung Melayu Majidee untuk membuang undi.
Wanita itu berkata, dia tidak mengetahui individu yang masih menjalani kuarantin setelah didapati positif Covid-19 dilarang hadir membuang undi.
Katanya, berlaku salah faham setelah orang terdekatnya memberitahunya individu masih boleh mengundi walaupun masih dalam tempoh kuarantin.
Dalam pada itu, Inspektor Kesihatan, Mohd Azrul menjelaskan kepada wanita itu bahawa semua individu yang positif tidak boleh keluar mengundi.
Katanya, mana-mana individu yang positif Covid-19 wajib menjalani kuarantin dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Sebagai individu yang didapati positif, awak tidak boleh keluar rumah langsung apatah lagi untuk keluar mengundi di pusat mengundi melainkan rumah di dalam pusat mengundi.
“Kami menawarkan kompaun sejumlah RM1,000 dan awak perlu hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dalam tempoh masa 14 hari,” katanya ketika menerangkan situasi itu kepada ibu wanita terbabit.
Inspektor Kesihatan itu mengarahkan wanita terbabit segera pulang ke rumah selepas mengeluarkan kompaun tersebut.