PRN Johor: Tsunami politik sekali lagi, tapi memihak BN

PRN Johor: Tsunami politik sekali lagi, tapi memihak BN

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Umno sudah memenangi majoriti mudah 29 daripada 56 kerusi DUN Johor, dan dijangka berpeluang mencapai angka keramat 38 kerusi untuk kemenangan 2/3.

PETALING JAYA:
Johor menyaksikan tsunami politik sekali lagi, namun memihak kepada Barisan (BN) yang diterajui Umno. Gabungan itu menang selesa dengan majoriti 2/3 untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu, menurut keputusan tidak rasmi.

Desas-desus Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional mungkin melakukan kejutan, berdasarkan kedudukan mereka sebagai gabungan politik besar, tidak menjadi kenyataan. Malah prestasi dua gabungan itu hambar, sekaligus menimbulkan persoalan mengenai tahap kesiapsiaagaan mereka berdepan Umno-BN pada PRU15.

Pendek kata, tsunami PRU14 yang menyaksikan PH menawan Johor, tidak berlaku kali ini.

Keputusan PRN kali ini banyak menepati ramalan penganalisis bahawa Umno-BN akan menawan semula negeri itu dengan majoriti selesa, sekaligus menguatkan desakan pemimpin tertentu Umno mahukan PRU diawalkan.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Umno sudah memenangi majoriti mudah 29 daripada 56 kerusi DUN Johor dan mendahului di banyak kerusi lain. Gabungan itu dijangka berpeluang mencapai angka keramat 38 kerusi untuk kemenangan 2/3.

PN meletakkan calon di semua 56 DUN manakala gandingan PKR, DAP, dan Amanah meletakkan calon di 50 kerusi, namun tidak berupaya menyekat kemaraan BN.

Pejuang yang menyaksikan Mahathir turun padang berkempen di samping mengutus surat kepada pengundi, gagal menang sebarang kerusi meskipun meletakkan 42 calon.

Keputusan malam ini mengesahkan Umno semakin bangkit semula dalam misi menawan semula Putrajaya.

Meskipun dilihat berpuak di peringkat pusat, Umno bersama parti komponen BN mempamerkan perpaduan dan penyelarasan yang diperlukan untuk memenangi pilihan raya di Johor dan Melaka sebelum ini.

Asakan pembangkang menggunakan “kluster mahkamah” dan rasuah sebagai modal kempen tidak menjadikan Umno, mahupun pemimpin seperti Ahmad Zahid Hamidi (presiden Umno) dan Najib Razak (penasihat BN), goyah.

Sebaliknya, mereka tepat meramal sokongan pengundi untuk calon BN tidak akan ditentukan semata-mata kerana isu itu.

Kemenangan besar di Melaka dan Johor, dilihat akan menguatkan desakan dalam Umno supaya PRU 15 disegerakan, sesuatu yang tidak diinginkan oleh PH mahu pun PN dan parti lawan lain.

Malah PH sudah pun menawarkan melanjutkan memorandum kerjasama dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob dengan syarat PRU tidak disegerakan.

Kalangan pemimpin tertentu dalam Umno yang dilihat mesra PN, juga tidak mahu PRU diawalkan. Bagaimanapun Zahid dan timbalannya Mohamad Hasan antara yang lantang mahu PRU diadakan secepat mungkin, susulan kemenangan terbaharu di Johor.

Apakah mungkin Ismail mengambil keputusan membubarkan Parlimen untuk PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat?

Persoalan itu akan mengisi bicara persada politik tanah air selepas ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.