Lelaki maut ditikam abang kembar akibat berebut dadah

Lelaki maut ditikam abang kembar akibat berebut dadah

Siasatan awal polis mendapati dua beradik itu bertengkar berebut dadah jenis syabu dalam kejadian kira-kira 4.30 petang.

Polis menahan suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada 10.45 malam tadi dan turut menemui pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut selepas ditikam abang kembarnya kerana berebut dadah di Kampung Seri Cheeding, dekat Kuala Langat, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata siasatan awal mendapati dua beradik itu bertengkar berebut dadah jenis syabu dalam kejadian kira-kira 4.30 petang.

Beliau berkata, perebutan itu membawa kepada pergaduhan yang menyaksikan suspek menikam adik kembarnya di dada menggunakan pisau.

“Mangsa sempat menghubungi majikannya untuk meminta bantuan ke hospital dan memaklumkan ditikam abangnya.

“Majikan mangsa yang tiba tidak lama kemudian, menemui lelaki itu terbaring berlumuran darah di tepi jalan dan tidak sedarkan diri.

“Mangsa yang ketika itu masih bernyawa dihantar ke Hospital Banting sebelum disahkan meninggal dunia dalam perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini menurut laporan Berita Harian.

Ridhwan berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada 10.45 malam tadi selepas dibawa majikannya.

Beliau berkata, polis turut menemui senjata yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa.

Katanya, dua beradik itu bekerja di kebun sayur dan suspek dipercayai terbabit dengan dadah selama 10 tahun.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 12 rekod lampau berkaitan dadah dan ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis ganja dan syabu.”

Katanya, suspek direman tujuh hari hingga 18 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.