Terpedaya ‘LHDN’, penjawat awam berputih mata rugi RM383,000

Terpedaya ‘LHDN’, penjawat awam berputih mata rugi RM383,000

Suspek menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendakwa ada tunggakan cukai.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata mangsa memasukkan sejumlah wang secara berperingkat sebanyak 14 kali ke dalam akaun yang berbeza pada 14 Feb lalu.
PETALING JAYA:
Seorang penjawat awam wanita kerugian RM383,000 selepas dihubungi ‘pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri’ (LHDN) pada 12 Feb lalu.

Wanita berusia 46 tahun itu menerima panggilan telefon daripada LHDN mendakwa beliau mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM36,690. Perkara itu dinafikan mangsa, menyebabkan panggilannya disambungkan kepada “Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan’”

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata wanita itu kemudian bercakap dengan seorang “pegawai polis” berpangkat Inspektor yang kononnya mendapati mangsa mempunyai rekod penyeludupan dadah selepas membuat semakan lanjut.

“Mangsa yang bimbang terhadap ugutan itu, memasukkan sejumlah wang secara berperingkat sebanyak 14 kali ke dalam akaun yang berbeza pada 14 Feb lalu,” katanya, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, wanita itu menyedari dirinya ditipu setelah memindahkan wang keseluruhannya berjumlah RM383,000.

Mohamad Fakhrudin sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dan ugutan sindiket.

“Orang ramai dinasihatkan segera menghubungi pihak polis sekiranya menerima panggilan telefon sebegini. Modus operandi sindiket ini menyasarkan sesiapa sahaja terutama yang cepat panik dan golongan yang kurang pendedahan mengenai maklumat terkini jenayah siber,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.