
Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad berkata, arahan mengosongkan kediaman itu adalah serta-merta bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa melakukan kajian terperinci.
“Sebanyak 48 rumah di empat lorong diarah untuk dikosongkan bagi mengelak kejadian tidak diingini memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
“Kami ada menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang terletak berhampiran,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Ani berkata, setakat ini tiada mangsa berpindah ke PPS berkenaan kerana memilih untuk tinggal di rumah saudara, hotel dan inap desa berdekatan.
Namun katanya, PPS itu sentiasa dibuka kepada penduduk yang mahu tinggal sementara di situ.
Beliau berkata, satu pusat pengurusan bencana daerah melibatkan kerjasama beberapa agensi, antaranya MPAJ, Jabatan Kerja Raya, polis dan bomba diwujudkan bagi merangka strategi lebih teratur dalam mengendalikan kejadian itu.
“Setakat ini, kerja-kerja pembersihan tidak boleh dilaksanakan kerana perlu melihat aspek kestabilan cerun berkenaan,” katanya.
Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 5.54 petang semalam meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan. Sejumlah 15 rumah serta 10 kenderaan turut mengalami kerosakan.