PRN Johor: ‘Tak bagus’ wakil rakyat bukan Melayu sikit dalam kerajaan, kata Hasni

PRN Johor: ‘Tak bagus’ wakil rakyat bukan Melayu sikit dalam kerajaan, kata Hasni

Hasni Mohammad berkata sebelum ini hanya wakil rakyat Melayu mewakili kerajaan manakala bukan Melayu di pihak pembangkang.

Menteri Besar sementara, Hasni Mohammad yakin rakyat boleh menilai dan menolak sebarang bentuk serangan secara peribadi dalam kempen pilihan raya negeri Johor.
JOHOR BAHRU:
Pilihan raya negeri (PRN) Johor diadakan bagi memilih wakil rakyat yang seimbang dari segi komposisi kaumnya untuk mewakili kerajaan, kata Menteri Besar sementara, Hasni Mohammad.

Beliau mengakui kurang selesa kerana sebelum ini hanya wakil rakyat Melayu mewakili kerajaan, manakala bukan Melayu berada di pihak pembangkang.

“Ini tak bagus. Johor tidak begitu kerana komposisi masyarakat Melayunya adalah antara 55-56% sementara Cina, India selebihnya.

“Jadi wakil-wakil rakyat yang dipilih ini harus mencerminkan komposisi kaum yang ada di negeri Johor,” katanya ketika ditemui FMT baru-baru ini di kediaman rasminya.

Hari pengundian PRN Johor akan berlangsung esok. Sebelum ini DUN Johor yang dipimpin Hasni hanya memiliki kelebihan satu kerusi, iaitu 28 berbanding 27 kerusi milik pembangkang selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Osman Sapian meninggal dunia.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Johor berkata, negeri itu sangat penting bukan hanya untuk ekonomi, malah kehebatan politiknya boleh menjadi penyumbang besar kepada kestabilan politik negara.

Hasni juga berkata, beliau yakin rakyat boleh menilai dan menolak sebarang bentuk serangan secara peribadi dalam kempen PRN Johor.

Selain itu, beliau menafikan tergolong dalam kumpulan “kluster mahkamah” seperti yang dikaitkan oleh segelintir anggota pembangkang.

“Perkara-perkara berbangkit yang bersifat menyerang peribadi atau individu, saya tidak fikir itu boleh mengubah pendirian pengundi yang berada di luar sana,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa manifesto BN yang disifatkannya sebagai “ikhtiar” BN Johor pada PRN ini merupakan pelan tindakan komprehensif yang sedia dilaksanakan sebaik sahaja gabungan itu berjaya membentuk pentadbiran negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.