Polis buka 26 kertas siasatan Macau scam babit kerugian RM1.3 juta

Polis buka 26 kertas siasatan Macau scam babit kerugian RM1.3 juta

Polis berkata, berdasarkan aduan diterima pihaknya pelbagai modus operandi digunakan anggota sindiket berkenaan untuk memerangkap mangsa.

Kebiasaannya penjenayah akan memalsukan nombor telefon sebenar agensi penguat kuasa dengan membuat panggilan telefon kepada mangsa, menurut polis.
IPOH:
Sejumlah 26 kertas siasatan dibuka oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh berhubung kes penipuan “Macau scam” membabitkan anggaran kerugian RM1.3 juta bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Yahaya Hassan berkata, berdasarkan aduan diterima pihaknya pelbagai modus operandi digunakan anggota sindiket berkenaan untuk memerangkap mangsa. Antaranya penjenayah akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai bank, pegawai penguat kuasa atau pegawai mahkamah.

“Kebiasaannya, penjenayah akan memalsukan nombor telefon sebenar agensi penguat kuasa seperti nombor telefon Ibu Pejabat Polis Bukit Aman atau mana-mana Ibu Pejabat Polis Kontinjen atau daerah dengan membuat panggilan telefon kepada mangsa menggunakan komputer dengan skrin telefon bimbit mangsa akan memaparkan nombor yang dipalsukan oleh penjenayah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Yahaya berkata, mangsa akan dimaklumkan kononnya mereka terlibat dalam kes jenayah, kemalangan maut, mempunyai hutang, tunggakan bayaran cukai pendapatan atau waran tangkap mahkamah seterusnya mangsa akan diarahkan membuat pembayaran atau pemindahan wang dalam masa yang singkat.

Beliau berkata, sekiranya tidak membuat pembayaran, mangsa diugut akan ditahan atau harta benda mangsa akan disita oleh pihak berkuasa dan penjenayah juga akan memberi amaran tegas kepada mangsa supaya tidak membuat laporan polis atau memaklumkan perkara ini kepada ahli keluarga untuk mengelakkan ia diketahui umum.

“Dengan ini, polis ingin mengingatkan orang ramai supaya berwaspada apabila menerima panggilan sebegini dan jangan sesekali memberikan sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, maklumat akaun bank atau membuat sebarang pembayaran melalui bank.

Polis menyeru kepada orang ramai supaya sentiasa peka dan mengambil maklum berkenaan modus operandi yang digunakan oleh penjenayah penipuan Macau Scam tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.