Leissner terima USD41,000 sebulan hasil kerja sampingan ketika masih dengan Goldman, juri diberitahu

Leissner terima USD41,000 sebulan hasil kerja sampingan ketika masih dengan Goldman, juri diberitahu

Dalam keterangannya pada perbicaraan Roger Ng, pegawai bank itu berkata, dia tidak mendedahkan konflik ini kepada Goldman.

Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner, sebelum ini mengaku bersalah atas peranannya dalam penyelewengan berbilion ringgit dana daripada 1MDB. Dia kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat. (Gambar Bloomberg)
NEW YORK:
Tim Leissner memberitahu juri pada Rabu bahawa dia bekerja secara sampingan dengan pejabat keluarga jutawan David Bonderman, iaitu pengasas bersama TPG Inc, semasa beliau masih menjadi rakan kongsi di Goldman Sachs.

Leissner, saksi utama dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram bekas rakan sekerjanya, Roger Ng, berkata, pada 2015, dia memperoleh lebih USD41,000 sebulan menerusi jawatannya di Wildcat Capital Management, yang mengurus kekayaan peribadi Bonderman.

Katanya, dia tidak mendedahkan konflik itu kepada Goldman dan pada masa itu, dia adalah pengerusi Asia Tenggara. Leissner, yang tidak memberi butiran mengenai peranannya itu, meninggalkan Goldman pada 2016.

Leissner, yang mengaku bersalah atas peranannya dalam penyelewengan berbilion ringgit dana daripada 1MDB, kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat. Pegawai bank itu disoal selama beberapa hari oleh peguam Ng yang cuba menjejaskan kredibilitinya dengan mendedahkan kepada juri keterangan bahawa dia adalah seorang “pembohong licik”.

“Leissner tidak pernah menjadi kakitangan (kami),” kata Wildcat dalam kenyataan.

“Dia pernah menjadi perunding pada permulaan musim panas 2015, namun serta-merta ditamatkan perkhidmatannya apabila situasi mengenai pemergiannya daripada Goldman Sachs diketahui.”

Pada awal perbicaraan, Leissner berkata, dia membantu anak bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, mendapatkan pekerjaan di TPG Asia selepas faktor pematuhan menghalangnya berbuat demikian di Goldman.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun berhubung kes SRC International, iaitu bekas anak syarikat 1MDB. AS berkata, kira-kira USD2.7 bilion daripada USD6.5 bilion yang dikumpul Goldman untuk 1MDB digelapkan oleh individu yang berkait dengan Najib.

Leissner mengaku menerima lebih USD60 juta dalam bentuk sogokan bagi memudahkan perjanjian bon 1MDB dan menerima bayaran USD12 juta daripada Goldman pada tahun pertama dia berbuat demikian.

Namun dalam keterangannya dia berkata, ketidakpuasan hati mengenai gaji mendorong beliau dan Ng berurus niaga dan kedua-duanya cuba menambah pendapatan menerusi perjanjian yang tidak diluluskan oleh bank.

The Wall Street Journal melaporkan pada 2016 bahawa Leissner memegang peranan sebagai penasihat buat seketika di Wildcat selepas dia meninggalkan Goldman pada tahun yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.