Duta Besar AS puji Malaysia undi sokong resolusi terhadap Rusia di PBB

Duta Besar AS puji Malaysia undi sokong resolusi terhadap Rusia di PBB

Brian McFeeters berkata, pendirian kerajaan dalam pencerobohan ke atas Ukraine 'sangat penting'.

Duta Besar Amerika Syarikat (AS), Brian McFeeters berkata, semua negara mesti melakukan apa sahaja yang mungkin untuk memberi tekanan kepada Rusia.
KOTA KINABALU:
Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia memuji kerajaan kerana menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut Rusia menamatkan pencerobohan ke atas Ukraine.

Brian McFeeters berkata, walaupun semua negara perlu melakukan lebih banyak lagi usaha sehingga krisis itu berakhir, AS gembira kerana Malaysia menyertai lebih 100 negara lain dalam pengundian di PBB pada 2 Mac lalu.

“Kami cukup gembira kerana Malaysia mengundi untuk mengutuk Rusia (atas pencerobohan). Itu sangat penting.

“Malaysia juga menyertai negara lain dalam majlis hak asasi manusia untuk mengeluarkan kenyataan mengutuk Rusia, jadi kami percaya kami mempunyai perkongsian yang baik dengan Malaysia.

“Ia adalah salah satu perkara yang anda tidak boleh lakukan secukupnya sehingga krisis diselesaikan. Kita semua perlu memberi tekanan kepada Rusia dalam apa cara sekalipun,” kata McFeeters kepada pemberita semasa lawatan rasmi tiga hari ke Sabah di sini, hari ini.

Malaysia menjelaskan pendirian rasmi berhubung konflik itu apabila menyertai 140 negara lain dalam mengundi untuk menerima pakai resolusi itu pada Perhimpunan Agung PBB.

“Malaysia mengundi menyokong dan menyampaikan kenyataan berikutan penerimaan resolusi bertajuk ‘Aggression against Ukraine’ pada Sidang Khas Kecemasan (ESS) ke-11 Perhimpunan Agung PBB hari ini,” kata wakil tetap Malaysia ke PBB dalam satu ciapan.

Resolusi itu menuntut Rusia “segera, sepenuhnya dan tanpa syarat menarik balik semua pasukan tenteranya dari wilayah Ukraine berdasarkan sempadan yang diiktiraf antarabangsa”.

Lima negara, iaitu Rusia, Belarus, Syria, Korea Utara dan Eritrea mengundi menentangnya, manakala 35 berkecuali.

Terdahulu, McFeeters berkata, AS melihat tindakan Rusia sebagai “tidak diprovokasi, tidak wajar dan serangan terancang” ke atas Ukraine.

“Jadi saya hanya ingin menjelaskan bahawa kerajaan AS bersolidariti sepenuhnya dengan Ukraine.

“Kami akan terus memberi tekanan dan sekatan dalam setiap cara yang kami boleh (ke atas Rusia) dan kami berharap negara lain akan menyertai kami dalam usaha itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.