Seorang mangsa kejadian tanah runtuh Ampang disahkan meninggal dunia

Seorang mangsa kejadian tanah runtuh Ampang disahkan meninggal dunia

Mangsa yang juga penduduk kawasan itu dikeluarkan jam 6.54 petang dan hanya cedera ringan.

Pasukan bomba dan penyelamat giat mengesan kemungkinan terdapat mangsa lain yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Ampang. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang mangsa kejadian tanah runtuh di Ampang, petang tadi disahkan meninggal dunia.

Bernama melaporkan, mangsa yang meninggal dunia ialah wanita warga emas, yang juga mangsa kedua yang berjaya dikeluarkan dalam kejadian itu, pada 7.53 petang.

Tiga lagi masih hilang dan pihak berkuasa bertungkus-lumus mencari dan menyelamat kesemua mangsa. Setakat ini, dua mangsa dikeluarkan, termasuk seorang lelaki yang diselamatkan pada jam 6.54 petang.

Kejadian 5.30 petang itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 kediaman terkesan, dengan empat daripadanya dikatakan tertimbus sepenuhnya, manakala yang lain separa terjejas.

Mangsa pertama yang juga lelaki berusia 84 tahun diselamatkan pada 6.54 petang dan mengalami cedera ringan.

Ketika ini, usaha mengesan tiga lagi mangsa giat dilakukan dan semua penduduk di Taman Bukit Permai, Ampang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Taman Mega Jaya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya sedang mengesan kemungkinan terdapat mangsa lain yang tertimbus.

“Pada masa ini, usaha menyelamatkan mangsa masih dijalankan, namun kita perlu berhati-hati kerana pergerakan tanah masih berlaku di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengajak orang ramai berdoa semoga mangsa masih hilang dapat diselamatkan.

“Saya mendapat berita sedih mengenai kejadian tanah runtuh. Pasukan bomba dan penyelamat terus melakukan kerja-kerja menyelamat secara pantas dan dalam usaha mencari mangsa,” katanya di Twitternya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.