Pekerja Air Selangor antara mangsa tertimbus

Pekerja Air Selangor antara mangsa tertimbus

Mangsa dilaporkan hilang selepas lori dinaiki ditimbus tanah runtuh.

Kejadian tanah runtuh itu menyebabkan dua mangsa meninggal dunia, seorang terselamat manakala dua lagi masih hilang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bunyi dentuman kuat seolah-olah petir mengejutkan pekerja syarikat penyelenggaraan utiliti, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sebelum salah seorang daripada mereka tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang, petang tadi.

Saksi kejadian, Angeozeel Andrew, 21, bersama rakannya, A Mahendran, 37, dan dua lagi rakannya menaiki dua lori untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di lokasi terbabit pada 4.30 petang.

Bagaimanapun, Mahendran dilaporkan hilang, dipercayai tertimbus dalam runtuhan tanah itu.

Menceritakan kejadian itu, Angeozeel berkata, ketika mahu memulakan kerja-kerja penyelenggaraan, tiba-tiba hujan lebat dan mereka masuk semula ke dalam lori.

“Saya bersama seorang rakan masuk ke sebuah lori di bahagian hadapan pada jarak 10 meter dari lori kedua yang dinaiki dua lagi rakan, termasuk Mahendran,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Menurutnya, mangsa sempat mengambil gambar di sekitar lokasi itu untuk dihantar kepada juruteknik.

“Ketika kami berehat di dalam lori, tiba-tiba saya mendengar dentuman kuat seperti petir, sebelum saya menoleh ke belakang dan melihat lori mereka ditimbus tanah.

“Saya bersama dua lagi rakan terus keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri, namun tidak melihat kelibat Mahendran keluar dari lori terbabit.

“Kami kemudian memanggil penghuni berhampiran supaya mereka keluar dari rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Angeozeel berkata, dia amat terkilan dengan apa yang menimpa Mahendran memandangkan sudah mengenalinya sejak mula bekerja di Air Selangor kira-kira setahun lalu.

“Saya agak rapat dengan dia (Mahendran) kerana sering bersama dalam tugas penyelenggaraan, termasuk di kawasan ini.

“Saya difahamkan dia sudah bekerja di sini (Air Selangor) kira-kira tiga tahun lalu dan dia seorang pendiam,” katanya yang memaklumkan mangsa berasal dari Teluk Intan, Perak.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan untuk mencari mangsa tertimbus.

Kawasan di sekitar lokasi kejadian juga dalam keadaan gelap kerana tiada bekalan elektrik.

Kebanyakan penghuni yang tinggal berhampiran lokasi kejadian sudah meninggalkan kediaman masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.