Kuota harian VTL darat Malaysia-Singapura ditambah mulai 14 Mac, kata Wee

Kuota harian VTL darat Malaysia-Singapura ditambah mulai 14 Mac, kata Wee

Seramai 3,420 penumpang dibenarkan merentas Tambak Johor setiap hari mulai minggu depan.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, pengembara yang menggunakan VTL darat Malaysia dan Singapura perlu menjalani ujian Covid-19 prapelepasan dan semasa ketibaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kuota harian untuk Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura akan ditambah mulai Isnin depan

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong mengesahkan penambahan itu akan membenarkan 3,420 penumpang merentasi Tambak Johor setiap hari.

“Kuota harian bagi penumpang di bawah inisiatif VTL darat Malaysia-Singapura akan ditambah daripada 2,160 orang kepada 3,420 orang mulai 14 Mac 2022.

“Ini akan membolehkan lebih ramai penumpang merentasi sempadan Malaysia-Singapura tanpa kuarantin dan lain-lain keperluan yang dikenakan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengumuman itu menyusul pertambahan kapasiti penumpang sebelum ini daripada 50% kepada 100% pada 16 Feb lalu.

Wee berkata, tiket bas untuk kuota harian tambahan itu akan mula dijual esok.

Katanya, pengendali bas yang ditetapkan di Malaysia akan terus mengendalikan VTL darat ke Singapura dari Terminal Larkin di Johor Bahru.

“Pengembara masih tertakluk kepada keperluan perjalanan VTL darat, termasuk menjalani ujian Covid-19 prapelepasan dan semasa ketibaan,” katanya.

Berhubung peralihan Malaysia ke fasa endemik mulai 1 April ini, Wee berkata, perjanjian VTL darat dengan Singapura kekal berkuat kuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.