Keputusan kit ujian kendiri tidak tepat rugikan pengguna, wakil PAS beritahu kerajaan

Keputusan kit ujian kendiri tidak tepat rugikan pengguna, wakil PAS beritahu kerajaan

Che Abdullah Mat Nawi (PN-Tumpat) berkata pengalamannya melakukan ujian kendiri selama tiga hari adalah negatif namun selepas melakukan ujian RT-PCR, beliau didapati positif.

Ahli Parlimen Tumpat Che Abdullah Mat Nawi, berkata, keputusan kit ujian kendiri menggunakan air liur yang tidak tepat merugikan pengguna. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang wakil rakyat PAS menggesa kerajaan supaya berhenti menasihati orang awam supaya melakukan ujian saringan Covid-19 menerusi kit ujian kendiri saliva (air liur) sekiranya alat berkenaan menghasilkan keputusan tidak tepat.

Che Abdullah Mat Nawi (PN-Tumpat) menegaskan beliau sendiri melalui pengalaman itu apabila melakukan ujian kendiri selama tiga hari dan keputusan RTK-Ag terus negatif, namun setelah melakukan ujian RT-PCR, beliau didapati positif.

“Saya alaminya sendiri. Tiga hari saya alami simptom, pagi petang saya buat ujian keputusan negatif akhirnya bila ujian RT-PCR, keluar positif.

“Ini sangat merugikan pengguna dari segi kesan dan kos perbelanjaan,” katanya ketika soalan tambahan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi di Dewan Rakyat.

Nanta bagaimanapun mengakui ujian RTK-Ag dilaporkan kurang tepat berbanding ujian RT-PCR, namun berkata, ia lebih bersifat pandangan perubatan yang berada di luar bidang kuasa beliau.

“Memang (kurang tepat), kami difahamkan berbanding RT-PCR, ujian saliva memang kurang tepat kerana saya juga melaluinya,” katanya.

“Jadi itulah pandangan saya, kalau ujian saliva tidak beri keputusan tepat adalah lebih baik untuk kementerian menasihatkan pengguna jangan guna ujian saliva. Sebab tiada guna pun,” balas Che Abdullah.

Terdahulu, Nanta berkata, kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk menurunkan harga siling kit ujian kendiri, di samping memperkenalkan harga siling bagi peranti perubatan lain seperti oksimeter dan termometer.

Ketika ini, harga siling runcit bagi kit ujian kendiri ditetapkan pada RM19 manakala harga borong dihadkan pada RM16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.