DNB tak dibiayai kerajaan, kata Kementerian Kewangan

DNB tak dibiayai kerajaan, kata Kementerian Kewangan

Agensi milik penuh kementerian itu menerima pembiayaan RM1.7 bilion daripada institusi kewangan bagi pelancaran rangkaian 5G, Dewan Rakyat diberitahu.

DNB, agensi milik penuh Kementerian Kewangan, ditugaskan untuk membina dan mengurus rangkaian 5G, yang kini tersedia di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.
KUALA LUMPUR:
Digital Nasional Bhd (DNB) menerima pembiayaan RM1.7 bilion daripada institusi kewangan bagi pelancaran rangkaian 5G, menurut kerajaan.

Dalam jawapan kepada Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat hari ini, Kementerian Kewangan berkata, kerajaan tidak akan terlibat memberi sebarang jaminan atau pembiayaan kepada DNB seperti yang didakwa pihak tertentu.

“(Pembiayaan) ini akan dibayar semula melalui hasil yang dijana daripada penjualan kapasiti secara borong,” katanya.

“Sehingga penghujung Januari 2022, jumlah yang dibelanjakan DNB adalah sebanyak RM544 juta. Ini merangkumi perbelanjaan bagi infrastruktur rangkaian, perkakasan rangkaian dan juga modal kerja.”

Fahmi bertanya kepada kerajaan sama ada dana awam diberikan, secara langsung atau tidak, kepada DNB sejak tahun lepas dan berapa banyak yang dibelanjakan oleh syarikat itu.

Kementerian juga berkata, rangkaian 5G kini tersedia di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.

Perkhidmatan itu akan diperluaskan ke Pulau Pinang, Johor, Sabah, Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Melaka tahun ini.

DNB, sebuah agensi yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, ditugaskan untuk membina dan mengurus rangkaian 5G, tetapi menghadapi masalah dengan penyertaan yang tidak memberangsangkan oleh syarikat telekomunikasi.

Syarikat telekomunikasi gergasi Sweden Ericsson memenangi kontrak RM11 bilion untuk berkhidmat sebagai pembekal peralatan rangkaian DNB susulan proses tender terbuka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.