Tiada mana-mana pihak pujuk, hasut tinggalkan PN, kata Shahruddin

Tiada mana-mana pihak pujuk, hasut tinggalkan PN, kata Shahruddin

Ketua Pejuang Johor itu berkata sebelum meletakkan jawatan, beliau sendiri berjumpa dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin untuk menyatakan hasratnya itu.

Pada 4 Jun 2020, Shahruddin Md Salleh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya secara mengejut.
SIMPANG RENGGAM:
Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh berkata, tiada mana-mana pihak memujuk atau menghasut beliau supaya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya pada 4 Jun 2020 dan meninggalkan Bersatu sewaktu di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang kini merupakan Ketua Pejuang Johor berkata, sebelum meletakkan jawatan, beliau sendiri berjumpa dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang ketika itu merupakan Perdana Menteri di bawah kerajaan PN untuk menyatakan hasratnya itu.

“Tidak ada sesiapa yang menghasut atau memujuk saya meninggalkan Bersatu dan letak jawatan Timbalan Menteri.

“Sebelum saya meninggalkan parti itu saya jumpa Muhyiddin. Saya kata saya nak berundur daripada parti Bersatu. Saya buat keputusan tak ada sesiapa mempengaruhi saya dan itu yang berlaku,” katanya ketika ditemui FMT baru-baru ini.

Pada 4 Jun 2020, Shahruddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya secara mengejut.

Dalam pada itu, Shahruddin berkata, sebaik meletakkan jawatan, beliau berasa lega, gembira dan tidak ada sebarang tekanan.

“Saya rasa lega, gembira dan tidak ada tekanan sebab saya daripada PH pergi PN. Ini maknanya saya rasa perjuangan parti politik saya agak kurang,” katanya.

Sementara itu katanya, beliau tidak boleh menjangkakan sama ada ini merupakan penggal terakhirnya bertanding sekiranya menang pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

“Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Kita hanya merancang. Saya tak boleh komen banyak perkara itu,” katanya.

Shahruddin mempunyai kerjaya politik yang panjang dari Umno ke Bersatu dan kini Pejuang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.