Sindiran Singapura maju tanpa Umno-BN, gurauan Mohd Amar kurang cerdik, kata Pemuda Umno Kelantan

Sindiran Singapura maju tanpa Umno-BN, gurauan Mohd Amar kurang cerdik, kata Pemuda Umno Kelantan

Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan perlu membuat pembetulan pernyataannya selepas PAS gagal mentadbir Kelantan selain meletakkan negeri itu mundur.

Kenyataan Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah itu memaparkan beliau terdesak meletakkan kesalahan kepada Umno kerana populariti Perikatan Nasional (PN) sudah merosot di mata rakyat, kata Ketua Pemuda Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kenyataan Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah yang mendakwa Singapura maju kerana tiada Umno disifatkan gurauan kurang cerdik, kata Pemuda Umno Kelantan.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor, berkata Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan perlu membuat pembetulan pernyataannya selepas PAS gagal mentadbir Kelantan selama lebih 30 tahun, selain meletakkan negeri itu mundur.

Katanya, sindiran Amar itu satu pernyataan yang tiada asas, hanyalah modal retorik.

“Ceramah Amar untuk meraih undi sempena pilihan raya negeri (PRN) Johor itu, menampakkan beliau terdesak dengan meletakkan kesalahan kepada Umno kerana dia tahu populariti Perikatan Nasional (PN) sudah merosot di mata rakyat.

“Masalah bekalan air bersih, masalah peluang pekerjaan, kurang pelaburan, masalah dadah dan sebagainya menunjukkan PAS Kelantan gagal menangani masalah berkenaan sejak sekian lama,” katanya menurut laporan Awani.

Beliau berkata, umum sudah mengetahui kerajaan PAS Kelantan gagal membawa pembangunan dan peluang pekerjaan kepada anak muda dengan sentiasa menyalahkan kerajaan persekutuan.

Mengulas lanjut, Noor Hariri berkata, hala tuju PN pada PRN Johor juga samar kerana PN sehingga ke saat ini masih belum mengemukakan calon Menteri Besar mereka.

“Penyertaan PN di dalam PRN Johor ini bukanlah untuk memberi khidmat kepada rakyat akan tetapi hanya menjadi pengacau pertembungan di antara BN melawan Pakatan Harapan,” katanya.

Noor Hariri berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Amar seperti yang dilaporkan sebuah portal berita, hari ini.

Terdahulu, Amar mendakwa Singapura lebih maju daripada Malaysia kerana republik itu tidak diperintah oleh Umno dan sekutunya dalam Barisan Nasional (BN).

“Mana yang lebih maju antara Singapura dengan Malaysia? Tentulah yang lebih maju adalah Singapura. Saya meminta maaf untuk bertanya secara berterus-terang, Umno ada ke di Singapura?

“Ada BN ke di Singapura? Tiada. Ini bermakna, jika tiada Umno, ia menjadi lebih mudah untuk membangunkan negara. Sehinggakan setiap hari orang Malaysia menyeberangi Tambak Johor untuk bekerja di Singapura,” kata Amar menurut laporan Harakahdaily.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.