Saya tak kenal penganjur, ‘aksi joget’ tiada kaitan dengan BN Ayer Hitam, kata Samsolbari

Saya tak kenal penganjur, ‘aksi joget’ tiada kaitan dengan BN Ayer Hitam, kata Samsolbari

Ketua Umno Bahagian Ayer Hitam Samsolbari Jamali berkata majoriti iaitu 90% yang terlibat dalam aksi joget itu adalah orang luar.

Tangkap layar video tular menunjukkan ‘aksi joget’ yang melanggar SOP dalam konsert yang dianjurkan di Ayer Hitam, baru-baru ini.
AYER HITAM:
Ketua Umno Bahagian Ayer Hitam, Samsolbari Jamali berkata, tiada pemimpin Barisan Nasional (BN) terlibat dalam penganjuran “aksi joget” yang dipercayai melanggar prosedur operasi standard SOP dalam kejadian di Ayer Hitam baru-baru ini.

Beliau berkata, penganjuran konsert itu dibuat oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCV) sebagai agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

“Itu tak ada kena mengena dengan kepimpinan BN Parlimen Ayer Hitam. Itu dibuat oleh SKMM, melalui penganjurnya. Saya pun tak kenal siapa penganjurnya,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, polis dilaporkan akan mengambil tindakan terhadap penganjur dan sekumpulan individu yang terlibat dalam “aksi joget” selepas dipercayai melanggar SOP dalam kejadian di sebuah konsert di Ayer Hitam baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata, bagaimanapun pihaknya ketika ini sedang mengenal pasti individu terlibat.

MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCV) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia bukanlah sebahagian daripada atur cara pihak penganjur.

MyCV memaklumkan sebagai agensi KKMM yang dipertanggungjawabkan ke atas program itu, pihaknya memberi keterangan berhubung kejadian itu dan menyerahkan kepada polis bagi menentukan hasil siasatan.

MyCV juga memohon maaf dan akan memastikan insiden seperti itu tidak berulang pada masa hadapan.

Dalam pada itu, setiausaha Umno Johor dan calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang itu berkata, majoriti, iaitu 90% daripada individu yang terlibat dalam aksi joget itu adalah orang luar.

Pada masa sama dia menyarankan kepada pihak pembangkang untuk tidak menjadikan insiden itu sebagai isu untuk meraih undi.

“Carilah isu yang lebih relevan daripada isu tersebut. Patut tanya siapa selama ini bantu peniaga-peniaga di Arena Warna (Ayer Hitam) itu daripada cuba nak meraih sokongan dengan isu itu (aksi joget),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.