PRN Johor: Amanah akui kelebihan memihak BN jika peratusan keluar mengundi rendah

PRN Johor: Amanah akui kelebihan memihak BN jika peratusan keluar mengundi rendah

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata ini berikutan BN mempunyai pengundi teras yang setia.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yakin peratusan keluar mengundi di Johor akan lebih tinggi berbanding Melaka.
BAKRI:
Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan berdepan laluan sukar untuk memenangi pilihan raya negeri (PRN) Johor Sabtu ini jika peratusan keluar mengundi rendah.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, kelebihan akan memihak kepada Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan seperti di Melaka, memandangkan gabungan berkenaan mempunyai pengundi teras yang besar.

“Kalau peratusan keluar mengundi rendah seperti Melaka memang BN ada peluang menang Johor. Saya mengharapkan peratusan keluar mengundi 70% hingga 75% seterusnya memberi peluang kepada PH untuk menang,” katanya semasa wawancara bersama FMT.

Ahli Parlimen Pulai itu bagaimanapun yakin peratusan keluar mengundi di Johor akan lebih tinggi berbanding Melaka.

Ditanya mengenai peluang Amanah untuk memenangi kerusi di Johor selepas prestasi buruknya yang hanya menang satu kerusi di Melaka selain tewas di Sarawak dan Sabah, Salahuddin menyuarakan keyakinan parti itu dapat mengekalkan sekurang-kurangnya sembilan kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Salahuddin Ayub.

“Bagi mana-mana parti PKR, Amanah, kekalahan kita di Sarawak bukan satu indikator yang memuktamadkan pengaruh di peringkat nasional. Peratusan keluar mengundi di Sarawak lebih rendah, tidak sampai 50% (jadi) tidak boleh dijadikan ukuran.

“Saya membuat unjuran, kalau peratusan keluar mengundi 70-75%, paling tidak Amanah boleh kekal dengan sembilan kerusi yang kita menang masa PRU-14. Kalau kita dapat mengekalkan sembilan kerusi itu saya rasa sudah cukup bagus untuk masa depan Amanah,” katanya.

Mengulas peluang beliau sendiri kekal menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Salahuddin mengakui perkara itu tidak mudah dan memerlukan kerja kuat.

“Jangan jadikan majoriti besar dulu penyebab kita rasa dijamin menang. Saya setuju banyak faktor yang mesti diperhitungkan, (seperti) undi pecah dalam kalangan pengundi Melayu sendiri dan kemungkinan berlaku peratusan mengundi rendah. Itu semua harus diambil kira,” katanya merujuk kepada kemenangan lebih 7,000 undi majoriti sebelum ini.

Katanya, pertembungan sesama sendiri antara pembangkang dalam PRN Johor juga akan menyukarkan gabungan itu untuk menang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.