
Beliau berkata, industri sawit negara mencatatkan rekod tertinggi apabila harga minyak sawit mentah mencecah sehingga RM8,076.50 setan pada 2 Mac lalu dan ini telah memanfaatkan warga FELDA serta negara.
“Saya melihat warga FELDA kini boleh kembali tersenyum apabila meraih pendapatan lebih tinggi berikutan lonjakan harga sawit di pasaran,” katanya sambil memberi contoh pencapaian Kak Aminah dari FELDA Endau yang difahamkan kini meraih pendapatan hampir RM8,000 sebulan.
Berucap pada Majlis Transformasi Perladangan di FELDA Endau hari ini, Ismail yang sebelum itu menghadiri satu program di FELDA Lok Heng, Kota Tinggi berkata, seorang peneroka di situ memaklumkan beliau meraih pendapatan mencecah RM12,000 sebulan.
“Tahniah kepada FELDA,” katanya sambil menambah industri sawit menyumbang sehingga RM107 bilion kepada pendapatan eksport negara tahun lalu, dengan 5.6 juta tan buah tandan segar diproses dari ladang milik peneroka yang bersama FELDA.
Selain peneroka menikmati pendapatan semakin meningkat, Ismail turut berkongsi berita baik berkaitan FELDA apabila syarikat perladangan FGV Holdings Bhd mencatatkan keuntungan besar.
“Alhamdulillah, tahniah saya ucapkan kepada FGV yang mencatatkan keuntungan RM1.17 bilion bagi tahun kewangan 2021 dan keuntungan ini pastinya memberi impak positif secara langsung kepada FELDA yang kini memiliki 82% saham FGV.”
Di sebalik kegembiraan peningkatan harga tinggi itu, Ismail berkata, industri sawit juga berdepan cabaran yang menjejaskan pengeluaran buah tandan segar seperti kekurangan buruh ladang selepas pandemik Covid-19 yang mengakibatkan minyak sawit berkurangan hampir sejuta tan pada 2021 berbanding tahun sebelumnya.
Bagi mengelakkan kerugian dalam jangka panjang, beliau berkata, kerajaan sedang merangka strategi menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan menumpukan usaha mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing melalui penggunaan teknologi dan Internet of Things (IoT).
“Revolusi Industri 4.0 perlu menjadi sebahagian keutamaan setiap industri dan agensi supaya kita tidak ketinggalan dalam kegiatan ekonomi bernilai tinggi,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada FELDA kerana menyokong aspirasi kerajaan melalui visi Ladang Lestari 2523 yang diperkenalkan Pengerusi FELDA, Idris Jusoh dan barisan pengurusannya dalam usaha memastikan pengurusan ladang peneroka lebih berdaya saing.
Beliau berkata, visi transformasi perladangan FELDA itu mempunyai objektif jelas, iaitu meningkatkan pendapatan peneroka melalui pemerkasaan teknologi dan mekanisasi dalam perladangan.
Katanya, empat teras strategi menerusi dasar mekanisasi FELDA akan membantu mengurangkan 50% penggunaan buruh, meningkatkan produktiviti sehingga 30% dan mengurangkan kos operasi ladang sebanyak 20% dan usaha itu akan memberi impak serta manfaat besar kepada warga FELDA.
Beliau berkata, penggunaan aplikasi pertanian melalui mekanisasi dan digitalisasi akan mengekalkan standard akreditasi antarabangsa yang perlu dipatuhi dalam membantu mengukuhkan integriti dan kualiti sawit Malaysia.