Kes cabar Muhyiddin letak jawatan PM, mahkamah tolak rayuan Khairuddin

Kes cabar Muhyiddin letak jawatan PM, mahkamah tolak rayuan Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan yang diwakili Haniff Khatri Abdulla turut diperintah membayar kos RM10,000 kepada Peguam Negara Idrus Harun.

Khairuddin Abu Hassan gagal dalam usahanya untuk mencabar Idrus Harun berhubung dakwaan kegagalannya menasihati Muhyiddin Yassin supaya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
PUTRAJAYA:
Seorang pemimpin Pejuang sekali lagi gagal dalam usahanya untuk mencabar Peguam Negara Idrus Harun berhubung dakwaan kegagalannya menasihati Muhyiddin Yassin supaya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan keadaan yang disifatkannya sebagai kehilangan sokongan majoriti.

Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan kerana perkara itu telah menjadi akademik memandangkan Muhyiddin telah meletakkan jawatan pada Ogos lalu.

Hakim Hanipah Farikullah berkata, intipati rayuan Khairuddin tertumpu kepada kegagalan Peguam Negara menasihati Muhyiddin supaya meletakkan jawatan.

“Muhyiddn kini telah meletakkan jawatan dan dakwaan kegagalan untuk menasihatinya telah menjadi akademik,” katanya ketika membenarkan bantahan awal oleh Peguam Kanan Persekutuan Low Wen Zhen.

Hanipah yang turut disertai hakim Azizah Nawawi dan Darryl Goon, berkata, “tidak dapat disangkal” bahawa mahkamah tidak akan menangani isu yang telah menjadi akademik atau hipotesis.

“Keadaan fakta dalam kes ini adalah sedemikian sehingga pengisytiharan asas yang dicari tidak lagi wujud,” katanya.

Panel hakim mengarahkan Khairuddin yang diwakili Haniff Khatri Abdulla membayar kos RM10,000 kepada Idrus.

Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md Shahid juga telah menolak permohonan Khairuddin untuk semakan kehakiman pada April lalu atas alasan dia tidak mempunyai locus standi bagi mendapatkan remedi itu.

Dalam permohonannya, Khairuddin mendakwa Idrus gagal melaksanakan tanggungjawab perlembagaannya dalam memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Dia memohon perintah untuk memaksa Idrus menasihati Muhyiddin supaya meletakkan jawatan.

Khairuddin menyatakan bahawa Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz telah menarik sokongan kepada Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing pada 9 dan 12 Jan 2021. Katanya, tanpa sokongan mereka, Muhyiddin tidak lagi menikmati sokongan majoriti.

Beliau juga mengemukakan persoalan undang-undang sama ada Muhyiddin masih boleh menasihati Agong supaya mengisytiharkan darurat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.