
Ibu Revnesh, Vijayarani Govindan berkata, keluarganya menerima laporan bedah siasat awal mengenai kematian anaknya itu hari ini.
“Laporan menyatakan Revnesh mati mengejut kerana hasil ujian menunjukkan semua organnya sihat dan tubuhnya tidak terjejas akibat vaksin,” katanya.
Revnesh dilaporkan muntah dan pengsan ketika dalam perjalanan ke kelas karate pada 16 Jan lalu. Beliau diisytiharkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Kajang.
Remaja itu menerima suntikan vaksin Covid-19 tiga minggu sebelumnya.

Bercakap kepada FMT, Vijayarani berkata doktor memaklumkan keluarganya bahawa laporan bedah siasat akan siap dalam tempoh seminggu lagi, manakala laporan perubatan penuh juga akan mengambil masa untuk disiapkan.
Keluarga itu telah pergi ke Hospital Kajang pada jam 2.30 petang untuk menerima laporan awal kematian Revnesh daripada Pakar Patologi Forensik Hospital Serdang Dr Emizam Mohamaddon. Turut hadir, Raja Syahrir Raja Abu Bakar iaitu Setiausaha Akhbar Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Pada 4 Mac lalu, Khairy menemui ibu bapa Revnesh dengan mengatakan sampel tisu remaja itu akan dihantar ke luar negara untuk ujian lanjut. Pasangan itu bagaimanapun tidak bersetuju sebaliknya mahukan ujian lanjut dilakukan di Malaysia.

“Kami menyoal kenapa ujian tidak boleh dilakukan di sini. Kita ramai doktor yang berkemahiran dan mampu mengesahkan punca kematian anak kami.
“Khairy turut memberi jaminan bahawa kami boleh mendapatkan pandangan kedua sekiranya mahukannya, dan beliau sanggup membantu,” katanya.
Menurutnya, keluarganya akan menunggu laporan bedah siasat penuh sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.
Terdahulu, ibu bapa Revnesh bersama Global Human Rights Federation (GHRF), Malaysian Tamilar Munetra Kalagam (MTMK) dan beberapa NGO lain berhimpun di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, bagi menyerahkan memorandum menggesa supaya Khairy “jujur dan telus” dalam siasatan kematian remaja itu.
NGO berkenaan turut mengetengahkan beberapa isu lain termasuk borang izin vaksinasi yang melepaskan kerajaan daripada sebarang akauntabiliti; mewajibkan suntikan penggalak bagi penerima vaksin Sinovac; serta ketiadaan badan aduan bebas untuk mangsa terjejas.