
Kerajaan menawarkan perjanjian konsesi kepada IWK pada 1994 selepas Parlimen meluluskan undang-undang perkhidmatan pembetungan. IWK diberi tanggungjawab untuk mengurus sistem pembetungan awam sehingga 31 Mac 2022.
Kerajaan melanjutkan perjanjian itu susulan keputusan Jemaah Menteri pada Oktober tahun lepas setelah mengambil kira prestasi IWK.
Sejak ditubuhkan pada 1994, IWK mengendali dan menyelenggara lebih 7,000 loji rawatan pembetungan awam (STP) dan lebih 20,000km saluran pembentungan, menjadikannya pengendali khidmat pembetungan terbesar di rantau ini.
IWK turut menyediakan khidmat mengurus satu lagi sistem pembetungan iaitu tangki septik. Ketika ini, terdapat lebih 1.4 juta tangki septik dan sejuta sistem tradisional digunakan di seluruh negara.
Meskipun IWK menyediakan khidmat untuk jutaan isi rumah, banyak pelanggan tidak sedar betapa pentingnya konsortium ini dalam kehidupan seharian mereka.
“Ada pelanggan kata mereka tidak nampak perkhidmatan yang diberikan oleh IWK. Hakikatnya, anda menggunakan khidmat IWK setiap kali anda mencurah tandas dan sisa buangan anda akan dibawa melalui sistem kami ke STP untuk dirawat sebelum dilepaskan ke alam sekitar,” kata CEO IWK, Narendran Maniam.
Jika sistem rawatan ini tidak diurus dengan baik, alam sekitar akan tercemar sekiranya air sisa dalam tangki septik mengalir ke sumber air atau naik ke permukaan, katanya.

Beliau menekankan betapa pentingnya sistem rawatan pembetungan dalam kehidupan harian rakyat serta alam sekitar ketika menjelaskan proses rawatan yang berjalan.
“Pertama sekali, sisa dari rumah kediaman dalam sistem yang bersambung disalurkan ke saluran pembetung dan terus ke STP.
“Pada peringkat awal yang dikenali sebagai prarawatan ini, sampah, pepejal, kersik dan gris diasingkan sebelum rawatan susulan. Tujuannya adalah untuk melindungi struktur dan peralatan mekanikal dan elektrikal di hiliran daripada objek besar kerana ini boleh mengganggu beberapa kemudahan di STP.
“Selepas bahan yang besar diasingkan, suatu proses biologi dijalani ke atas air sisa dengan memperkenalkan mikrob untuk meleraikannya. Kemudian air sisa disalurkan ke penjernih yang terdiri daripada beberapa tangki atau lembangan untuk menakung air atau sisa air selama beberapa ketika supaya gumpalan zarah dan bahan terapung lain mendap.
“Proses penjernihan ini menjadikan air jernih dengan mengasingkan zarah, endapan, minyak dan jirim organik. Jirim itu akan membentuk lapiran enap cemar yang perlu selalu dibersihkan dan dibuang. Air yang dijernihkan itu kemudian akan melalui beberapa langkah lagi sebelum dihantar untuk disimpan dan digunakan.”

Narendran berkata, STP IWK beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu kerana rawatan merupakan proses yang berterusan.
Oleh itu amat penting untuk memastikan semua peralatan berfungsi secara optimum dengan sistem pengawasan bagi mengurangkan kerosakan.
Kebanyakan STP menggunakan jentera dan berjalan secara automatik, namun keseluruhan sistem itu perlu diurus oleh ribuan orang pekerja.
“IWK mempunyai 3,400 kakitangan di seluruh negara untuk mengurus lebih 7,000 STP.”
Narendran juga menarik perhatian kepada kos operasi dengan berkata, bayaran yang dikenakan oleh IWK ke atas pelanggan adalah lebih murah daripada kos sebenar yang ditanggung IWK.
“Purata kos penyelenggaraan sistem pembetungan bagi premis yang menggunakan perkhidmatan sistem bersambung adalah sekitar RM17 sebulan berbanding tarif semasa antara RM2 dan RM8 sebulan.
“Perbezaan antara caj semasa dan kos operasi sebenar juga boleh dilihat dalam khidmat pembuangan enap cemar kami, yang menyaksikan IWK mengenakan caj sebanyak RM144 ke atas pelanggan bagi setiap pembersihan. Bagaimanapun anggaran kos operasi sebenarnya ialah RM263 bagi setiap pembersihan,” katanya.