Sentimen ‘kluster mahkamah’ taktik lama, tak jejas peluang BN menang 2/3, kata Saarani

Sentimen ‘kluster mahkamah’ taktik lama, tak jejas peluang BN menang 2/3, kata Saarani

Beliau menyifatkan serangan itu sebagai ‘taktik lama’ dan tidak akan memberi kesan besar kepada BN.

Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad berkata serangan pembangkang yang memainkan sentimen ‘kluster mahkamah’ sebagai taktik lama yang tidak memberi kesan besar kepada BN. (Gambar Bernama)
MUAR:
Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad berkata serangan pembangkang yang memainkan sentimen “kluster mahkamah” tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang dua pertiga di pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Beliau menyifatkan serangan itu sebagai “taktik lama” dan tidak akan memberi kesan besar kepada BN.

Kluster mahkamah merujuk kepada kumpulan pemimpin Umno yang dibicarakan atas tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. Antara lain pemimpin itu termasuk Presiden Umno, Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Najib Razak.

“Tidak mustahil (menang dua pertiga) walaupun agak sukar. Tetapi tidak mustahil.

“Lihat Najib punya gelombang. Dia boleh menembusi sekolah Cina dan masuk ke flat. Ke mana dia pergi, rakyat beri sokongan. Itu gambaran bahawa rakyat merindui kerajaan BN,” katanya kepada FMT ketika ditemui baru-baru ini.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata BN menyasarkan kemenangan dua pertiga pada PRN Johor. Katanya beliau melihat peluang kemenangan BN pada pilihan raya kali ini cerah, namun gabungan parti itu tidak mahu hanya memperoleh majoriti mudah.

Dalam pada itu, Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata sentimen pengundi di Johor lebih kurang seperti di PRN Melaka dengan bukan sahaja orang Melayu malah juga orang Cina memberi sokongan kepada BN.

Menurutnya, pengundi jelas hendakkan kerajaan stabil dan kuat yang dapat membangunkan negeri Johor.

“Jadi nampaknya, mereka akui bahawa sudah ada pengalaman dengan BN, kemudian orang kata nak tukar sekejap, tukar selera, bagilah pada Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan tetapi telah gagal.

“Kemudian daripada PH kepada Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin Yassin nampak tidak berjaya,” katanya.

Saarani juga berkata serangan terhadap Najib hanya membuang masa dan menyifatkan sebagai “membazir peluru” memandangkan bekas Perdana Menteri itu bukan bertanding di Johor, atau memegang jawatan Presiden atau Timbalan Presiden Umno.

“Jadi apa hal nak menembak dia bukan-bukan. Dia bukan nak jadi Menteri Besar (Johor). Pada saya itu salah sasaran dan bazir peluru. Berilah peluang pada kita sebab kita nak berbuat kebajikan pada rakyat di Johor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.